JOHOR BAHRU: Sebuah keluarga hidup dalam ketakutan setelah diugut bunuh oleh ah long, gara-gara pinjaman wang yang diberikan secara paksa kepada adiknya yang bekerja di Singapura.
Lelaki yang dikenali sebagai Ng, 37, berkata, ah long itu turut menyimbah cat merah pada kereta adiknya di rumah ibu bapa mereka di Taman Desa Jaya, di sini selain menghantar gambar pistol kepadanya menerusi aplikasi WhatsApp, pada 8 Oktober lalu.
Ng berkata, kejadian bermula apabila adiknya yang bekerja di sebuah kilang di negara republik itu terdesak untuk menggunakan duit dan melayari aplikasi pinjaman wang di media sosial pada awal September lalu.
Jelasnya, walaupun adiknya berubah fikiran untuk tidak mahu membuat pinjaman, mereka bertindak meneruskan pemberian pinjaman tidak berlesen itu berjumlah 1,000 dolar Singapura (SGD) setelah memperoleh maklumat peribadi.
“Biarpun tidak bersetuju dengan pinjaman tersebut, adik saya tetap membuat bayaran penuh beserta bunga. Namun, tidak lama selepas itu mereka memindahkan lagi 2,000 SGD kepada adik saya tanpa kerelaan.
“Setelah tidak tahan berkali-kali diganggu ah long itu, adik bertindak menyekat nombor telefon berkenaan. Kini, kami ahli keluarganya di Johor menjadi sasaran mereka pula,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat PKR Cabang Tebrau, di sini hari ini.
Anak sulung kepada tiga beradik itu berkata, seorang pemilik akaun Facebook bernama Richard Lou telah memuat naik gambar mereka keluarga dengan keterangan mendakwa tidak membayar pinjaman yang dibuat dengannya.
Peniaga akuarium itu berkata, dia turut menerima mesej berunsur ugutan menerusi WhatsApp dari nombor telefon berdaftar di Singapura yang mengugut untuk membakar rumah dan keretanya selain menyimbah cat merah.
“Saya turut menerima mesej dari nombor telefon tempatan yang menghantar gambar pistol selain memberi amaran berhati-hati ketika keluar dari rumah. Saya dan isteri tidak pernah pinjam dari siapa-siapa pun dan disebabkan bimbang keselamatan kami telah membuat laporan di Balai Polis Setia Indah pada 8 Oktober,” katanya.
Tambahnya, lima hari selepas laporan itu dibuat, dia dihubungi ibunya pada pukul 11.30 malam yang memberitahu kereta adik bongsunya disimbah cat merah. Pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang wanita bertindak menyimbah cat merah manakala seorang lelaki menampal notis di pagar rumah yang bertulis ‘ini amaran pertama’.
“Saya tidak mempunyai musuh dan tak pernah membuat pinjaman dengan mana-mana pihak. Saya berharap perkara ini berakhir segera kerana tak tahan lagi hidup dalam ketakutan seperti ini,” katanya yang membuat laporan kedua di balai sama pada 14 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menggesa pihak polis untuk melakukan siasatan secara menyeluruh sebelum kejadian tidak diingini berlaku terhadap mangsa tersebut. -UTUSAN ONLINE










