JOHOR BAHRU: Adik kepada mangsa kemalangan maut yang terjatuh dari laluan bertingkat baru-baru ini perlu menjalani rawatan susulan bagi mengetahui tahap trauma dan tekanan yang dihadapi akibat nahas meragut nyawa abangnya pada 24 September lalu.
Pegawai Perubatan Kesihatan Pekerjaan, Hospital Pakar KPJ Puteri, Dr. Muhammad Yazid Abd. Manaf berkata, Qhaizul Izhar Munawar, 19, perlu dirujuk kepada pakar psikiatri dan psikologi bagi menguruskan trauma yang mungkin dihadapinya.
“Apabila seseorang itu mengalami trauma yang kita kategorikan sebagai teruk kerana kemalangan menyebabkan kematian salah seorang keluarga iaitu abangnya, serba sedikit akan menjejaskan mental dan emosi.
“Dalam keadaan ini, mangsa (Qhaizul Izhar) akan mengalami post traumatic stress disorder iaitu tekanan atau trauma selepas kemalangan.
“Saya juga menasihatkan ibu bapa pesakit supaya anaknya dirujuk kepada pakar psikiatri atau psikologi supaya dia dapat menangani stres atau trauma yang dihadapi dengan lebih baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Qhaizul Izhar sebelum itu ditemani bapanya, Munawar Karim, 43, dan ibu, Suriani Ponjian, 40, menjalani rawatan susulan di Hospital Pakar KPJ Johor di sini.
Hospital itu mengambil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menawarkan perkhidmatan rawatan susulan secara percuma kepada Qhaizul Izhar berikutan remaja itu merupakan penerima suntikan vaksin di hospital berkenaan pada hari kejadian.
Pada 25 September lalu, perjalanan seorang lelaki yang membawa pulang adiknya selepas menerima vaksin Covid-19 berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas tercampak jatuh dari laluan bertingkat Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) berhampiran Pandan, di sini.
Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Muhamad Nur Ramadan, 21, maut di tempat kejadian manakala Qhaizul Izhar mengalami kecederaan ringan setelah motosikal dinaiki mereka terbabas dan melanggar tembok konkrit di Kilometer 4 lebuh raya terbabit.
Mengulas lanjut, Dr. Muhammad Yazid berkata, remaja itu juga mengalami kecederaan fizikal luaran iaitu luka pada bahagian dagu, kaki, tangan serta bahagian perut.
Jelasnya, luka telah beransur pulih selain tiada jangkitan yang teruk dan memerlukan satu atau dua rawatan susulan bagi memastikan keadaan kembali pulih seperti biasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Johor, Mohd. Azhar Abdullah berkata, pihaknya terpanggil untuk menjalankan CSR kepada keluarga itu selain menyampaikan sumbangan termasuk wang ringgit hasil kutipan khas dan keperluan kesihatan kepada mereka. -UTUSAN ONLINE










