90% dewasa lengkap vaksinasi Sabtu ini - Utusan Malaysia

90% dewasa lengkap vaksinasi Sabtu ini

KELONGGARAN untuk merentas negeri kini semakin hampir apabila 88.4 peratus penduduk dewasa sudah divaksin setakat semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Negara dijangka mencapai kadar 90 peratus populasi dewasa lengkap vaksinasi Sabtu ini sekali gus membolehkan kelonggaran kebenaran rentas negeri diberikan sepertimana dijanjikan kerajaan.

Pakar kesihatan pekerjaan, kecemasan dan kesihatan awam, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, pemberian vaksinasi kini adalah sebanyak 0.7 peratus sehari, maka tidak mustahil perkara itu dapat dicapai seawal-awalnya esok kerana baki 1.6 peratus atau 369,788 individu sahaja lagi diperlukan.

Bagaimanapun beliau meminta kelonggaran itu tidak diberikan serta-merta sebaliknya diberikan pada minggu berikutnya bagi mengelakkan rakyat membuat keputusan terburu-buru pada minggu ini.

“Hujung minggu ini kita tenang diri dulu kerana jika pengumuman dibuat Jumaat, Sabtu dan Ahad sudah tentu semua terburu-buru untuk rentas negeri.

“Saya harapkan kebanyakan orang ramai rancang dulu perjalanan pergi kerja sebelum melakukan perjalanan pada minggu berikutnya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, yang penting rakyat masih perlu mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Jika pulang ke kampung itu, hanya sekadar melawat mak ayah dan bukannya satu kampung. Orang ramai perlu berhati-hati, perlu slow and steady dan mematuhi SOP,” katanya.

Tambah beliau, rentas negeri dalam waktu terdekat juga dikhuatiri boleh mengganggu fasa pembukaan sekolah sekiranya wujud kluster baharu nanti.

Sementara itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kerajaan mengambil kira dan meneliti pelbagai faktor sebelum mengambil sebarang keputusan untuk membenarkan rentas negeri yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Setakat hari ini saya dimaklumkan kita sudah sampai 88.74 peratus jadi mungkin kita akan sampai kepada 90 peratus dalam beberapa hari lagi,“ jelasnya dalam sidang akhbar selepas Program Bakul Kementerian Pertahanan (MINDEF) Prihatin.

Tambahnya, kerajaan kini lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia terus terjamin dan terlindung daripada wabak Covid-19 – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN