PUTRAJAYA: Pengeluaran ayam dan telur ayam dijamin mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan pengguna pada masa ini iaitu masing-masing 64.9 juta ekor ayam dan 1 bilion biji telur sebulan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, jaminan itu berdasarkan pemantauan bekalan secara berkala ke atas 20 syarikat pengeluar ayam yang mewakili 1,028 ladang bermula 22 September tahun lalu.
Kata beliau, ini termasuk pemantauan menerusi Bahagian Penguat kuasa ke atas 50 syarikat pengeluar telur ayam yang mewakili 101 ladang bermula awal Mei tahun lalu bagi melihat kedudukan bekalan keperluan makanan itu di seluruh negara.
“KPDNHEP mengambil maklum isu berhubung peningkatan permintaan ke atas ayam di pasaran berikutan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi.
“Dianggarkan pengeluaran bekalan bagi ayam oleh pihak penternak di pasaran pada bulan ini adalah sebanyak 64.9 juta ekor sebulan manakala anggaran pengeluaran telur ayam adalah melebihi 1 bilion biji sebulan,” katanya di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan pengusaha makanan di beberapa negeri mendakwa ayam segar bukan sahaja mahal, malah bekalannya juga didapati semakin terhad kebelakangan ini menyebabkan perniagaan mereka terjejas.
Di Kota Bharu, Kelantan, kesukaran mendapatkan bekalan ayam segar memaksa mereka mengurangkan hidangan berasaskan ayam atau mencari alternatif menggunakan sumber lain seperti ayam sejuk beku.
Alexander berkata, kementerian sentiasa melakukan sesi libat urus bersama pemain industri untuk memastikan bekalan ayam mencukupi.
Selain itu, kata beliau, KPDNHEP sentiasa menjalankan pemeriksaan berkaitan keberadaan bekalan ayam dan telur ayam ke atas 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dan 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) secara harian di seluruh negara.
Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP mengingatkan peniaga agar lebih bertanggungjawab dalam memastikan pengeluaran dan pengedaran ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna.
“Mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang membawa denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali,’’ kata beliau. -UTUSAN










