JOHOR BAHRU: Sebanyak 4,622 premis di seluruh negara telah diarahkan untuk tutup serta-merta sepanjang Op Patuh yang dijalankan bermula 25 Jun lalu hingga semalam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, tindakan itu dibuat melalui pemeriksaan yang dibuat terhadap lebih dua juta premis di seluruh negara dalam tempoh yang sama.
Katanya, sepanjang tempoh pemeriksaan itu dijalankan, sebanyak 7,740 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan yang dilakukan.
“Sepanjang Op Patuh, kita telah menggerakkan seramai 14,959 pegawai dan anggota membabitkan 3,442 pasukan pematuhan di setiap negeri.
“Pemeriksaan ini memberi tumpuan sama ada mereka mendapat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi selain pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Penyerahan Sumbangan Kepada Pesara PDRM di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Kasuahdi Ali.
Mazlan berkata, pemeriksaan dan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan melibatkan kawasan kilang, tapak pembinaan, asrama penempatan pekerja serta premis perniagaan.
Katanya, semua pihak diharap dapat mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19 seterusnya memastikan rakyat selamat daripada penularan wabak. -UTUSAN










