JOHOR BAHRU: Polis negeri ini telah menggerakkan seramai 1,636 pegawai dan anggota untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipatuhi penduduk negeri ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, mereka dibahagikan kepada 289 kumpulan pemantau dengan pergerakan sebanyak 159 kereta peronda polis (MPV) di seluruh Johor.
Menurut beliau, peralihan ke Fasa 2 PPN bukan peluang masyarakat mengambil ringan SOP kerana negara masih berperang melawan pandemik Covid-19.
“Seramai 1,636 pegawai dan anggota melibatkan 289 kumpulan pemantauan pematuhan SOP dengan pergerakan 159 kereta MPV.
“Tumpuan kini adalah tempat berkelah, riadah dan juga rekreasi memandangkan lokasi ini menjadi tumpuan ramai untuk bersama keluarga ketika hujung minggu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Ayob Khan, setakat Khamis lalu, pihaknya telah membuat pemantauan di 8,248 premis melibatkan pasar raya, pasar awam, restoran, kilang, tempat ibadat dan pusat riadah seluruh negeri.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 162 tempat rekreasi, 31 tapak berkelah, 77 tapak permainan dan 46 hotel, resort dan inap desa turut diperiksa.
“Hasil pemantauan ini polis Johor telah memberikan sebanyak 359 nasihat kepada orang ramai yang didapati tidak mematuhi SOP ditetapkan dengan tujuan sebagai peringatan kepada mereka tentang bahaya jangkitan Covid-19,” katanya.
Dalam sidang akhbar baru-baru ini, Ayob Khan mengakui kadar pematuhan SOP Covid-19 dalam kalangan penduduk negeri ini semakin rendah khususnya selepas Johor memasuki Fasa 2 PPN pada 24 September lalu.
Sementara itu, beliau turut memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung pemalsuan sijil vaksinasi di aplikasi MySejahtera melibatkan Johor setakat ini. -UTUSAN ONLINE