BATU PAHAT: Seorang pejalan kaki wanita maut dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan di Kilometer 6 Jalan Kluang – Batu Pahat di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, dalam kejadian pukul 7.45 pagi itu, mangsa Ang Hui Yin, 46, sedang melintas dari arah kanan ke kiri jalan raya.
“Bagaimanapun, ketika berada di tempat kejadian, sebuah motosikal yang ditunggang seorang anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat berusia 53 tahun dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Parit Raja.
“Penunggang motosikal gagal mengelak menyebabkan mangsa dirempuh dan cedera parah sebelum disahkan maut di lokasi kejadian. Manakala anggota berkenaan pula turut mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail di sini untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ismail, semasa kemalangan, cuaca hujan renyai-renyai dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -UTUSAN ONLINE










