Wanita 101 tahun akhirnya lembut hati terima vaksin - Utusan Malaysia

Wanita 101 tahun akhirnya lembut hati terima vaksin

CHOONG YAT HAN menunjukkan isyarat bagus setelah disuntik vaksin Covid-19 di PPV Meru Valley Resort di Meru, Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang wanita warga emas berusia 101 tahun yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akhirnya lembut hati setelah lima bulan dipujuk oleh ahli keluarganya.

Choong Yat Han yang tinggal di Buntong dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Meru Valley Resort hari ini dengan ditemani anak lelakinya untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

Menurut Yat Han, kesemua anak dan cucunya tidak pernah jemu memujuk malah mereka sentiasa mengingatkan mengenai bahaya wabak Covid-19.

Katanya, dia yang merasakan tidak memerlukan sebarang suntikan imunisasi ekoran usia yang sudah tua bagaimanapun berubah fikiran, setelah melihat kesungguhan keluarga dalam memastikan kesihatan dan keselamatannya terjaga.

“Saya sudah tua sebab itu saya rasa tidak perlu lagi vaksin, tetapi anak dan cucu ada beritahu jika tidak disuntik, saya tidak boleh keluar rumah atau ke mana-mana.

“Mereka kata perlu ambil vaksin sebab tidak mahu saya sakit, lagipun vaksin boleh lindung semua. Sebab itu saya setuju untuk disuntik, lagipun tidak sakit pun dicucuk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, anak lelaki Yat Han, Chan Ho Han, 72, berkata, pendaftaran ibunya melalui MySejahtera dibuat sebaik sahaja wanita itu bersetuju untuk divaksin minggu lalu.

Katanya, mereka sekeluarga berasa lega dan gembira kerana wanita itu akhirnya berjaya disuntik vaksin Covid-19 hari ini.

“Sejak April lalu kami pujuk dia, tapi emak memang berkeras tidak mahu disuntik dan menolak mentah-mentah cadangan kami.

“Mungkin selepas kami beritahu penyakit sekarang sudah makin teruk dan hanya orang sudah divaksin boleh keluar rumah dan makan di restoran, barulah dia lembut hati dan bersetuju,” katanya yang memberitahu ibunya tidak mempunyai masalah kesihatan.

Dalam pada itu, Pengarah Meru Valley Resort,  Datuk Lim Si Boon berkata, sejak PPV itu beroperasi Ogos lalu, kira-kira 10,000 orang telah menerima suntikan vaksin Covid-19.

Katanya, PPV tersebut dibuka dengan kerjasama Hospital Pakar Komuniti Perak (PCSH) dan mampu memberi suntikan vaksin kepada 600 orang sehari.

“Dengan kemudahan yang ada ini, kita yakin mampu meneruskan pemberian vaksin terutama kepada golongan remaja bawah 18 tahun pula yang ketika ini menjadi fokus kerajaan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK),” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya