Vaksinasi secara datang terus, percepat fasa peralihan PPN Melaka - Utusan Malaysia

Vaksinasi secara datang terus, percepat fasa peralihan PPN Melaka

SULAIMAN Md. Ali (kiri) melawat Program Vaksinasi Untuk Penjaja, Peniaga dan Penyewa dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) di Kompleks Melaka Mall, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Langkah kerajaan negeri membenarkan semua warganegara dan bukan warganegara berumur 18 tahun ke atas mendapatkan suntikan vaksin secara datang terus atau walk-in bermula hari ini bertujuan mempercepatkan imuniti kelompok.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, keputusan yang dibuat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) itu dapat membantu Melaka beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) seterusnya lebih awal.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 69,972 orang daripada 677,400 populasi dewasa berumur 18 tahun dan ke atas masih belum menerima vaksin Covid-19.

“Semua penduduk warganegara di negeri ini yang layak divaksinasi tetapi masih belum menerima tarikh temu janji boleh pergi ke mana-mana pusat pemberian vaksin (PPV) awam dan PPV mega melalui inisiatif datang terus.

“Bagi penduduk bukan warganegara berumur 18 tahun dan ke atas yang masih belum menerima tarikh temu janji pula, mereka boleh pergi PPV Mega Stadium Hang Jebat, Krubong dan PPV Mega Stadium Jasin bermula Sabtu depan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, meskipun proses imunisasi di negeri ini akan berlangsung secara datang terus, penerima tetap perlu mendaftar terlebih dahulu melalui aplikasi MySejahtera. 

Bagaimanapun, jelasnya, individu yang tidak mempunyai akses telefon pintar dibolehkan datang terus ke PPV untuk didaftarkan.

“Orang ramai perlu membawa kad pengenalan atau sebarang dokumen pengenalan diri, telefon pintar yang berdaftar dengan MySejahtera serta dokumen berkaitan penyakit kronik sekiranya ada.

“Inisiatif ini hanya dibenarkan bermula dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 4 petang,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN