Vaksin: Tiada laporan kesan sampingan terhadap pelajar - Utusan Malaysia

Vaksin: Tiada laporan kesan sampingan terhadap pelajar

NOOR Azmi Ghazali (kanan) dan pelajar, Muhammad Azirol Naim Mohamad Rizal menunjukkan isyarat bagus selepas PICK di SM Abu Bakar Al-Baqir di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Ibu bapa pelajar tidak perlu bimbang kesan sampingan vaksin Covid-19 terhadap anak mereka yang menerima suntikan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ( PICK) Remaja yang sedang dilaksanakan.

 

Timbalan Menteri kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, memang terdapat ibu bapa yang khuatir kemungkinan berlaku kesan sampingan terhadap anak mereka yang menerima vaksin seperti radang pada otot jantung atau miokarditis dan radang selaput jantung atau pericarditis.

 

Menurutnya, setakat ini, vaksin jenis Pfizer yang diberikan kepada pelajar tidak mempunyai kesan sampingan yang besar, malah, tiada laporan kesan seperti itu berlaku di negara ini.

 

“Perkara itu berlaku di luar negara malah hasil  kajian ke atas  golongan muda yang terkena radang otot jantung dan radang selaput luar jantung, peratusnya juga sangat rendah.

 

“Risiko kesan sampingan selepas menerima vaksin amat rendah namun kebaikan vaksin jauh lebih baik daripada terkena Covid-19,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Abu Bakar Al-Baqir di sini hari ini.

 

Noor Azmi  berkata, kerajaan menyasarkan 60 peratus untuk pelajar menerima vaksin sehingga November ini dan jumlah itu bertambah sehingga 80 sebelum akhir Disember ini.

 

Beliau berkata, setakat semalam sebanyak 681, 853 pelajar telah mendapat suntikan dos pertama sejak 20 September lalu manakala  108,935 lagi telah menerima dos kedua.

 

“Ini bermakna 26.9 peratus remaja sudah menerima suntikan dos pertama dan 4.3 peratus telah lengkap vaksinasi sejak program ini dilancarkan pada 20 September lalu.

 

“Masih ada 98 hari lagi untuk selesai suntikan vaksin iaitu sehingga akhir Disember ini,” katanya.

 

Sementara itu, setakat ini Wilayah Persekutuan Labuan mencatat peratusan tertinggi pelajar yang menerima vaksin iaitu 76.7 peratus bagi dos pertama dan 6.4 peratus dos kedua, diikuti Sabah 65.3 peratus dos pertama dan 7.2 peratus dos kedua manakala Sarawak ketiga iaitu 37.7 peratus dos pertama dan 6.9 peratus dos kedua.

 

Bagi negeri-negeri di Semenanjung, Perlis mencatat peratus tertinggi iaitu 33.3 peratus dos pertama dan 4.6 peratus dos kedua diikuti Pahang  30.7 peratus dos pertama dan 3.4 peratus dos kedua.

 

Perak yang mempunyai 203,152 pelajar,  53,770 daripadanya telah menerima dos pertama manakala 7,633 telah lengkap vaksin. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya