MELAKA: Pakatan Harapan (PH) negeri kesal dan kecewa selepas tiga usul yang dikemukakan untuk dibahaskan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditolak oleh Yang Dipertua, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.
Pengerusinya, Adly Zahari berkata, PH telah mengemukakan tiga usul pada 6 September lalu berkaitan sistem demokrasi berparlimen dan Perlembagaan Persekutuan, menangani penularan Covid-19 dalam kalangan warga asing serta pemulihan ekonomi dan program vaksinasi.
Jelas beliau, permasalahan rakyat sewajarnya menjadi keutamaan kerajaan negeri untuk dibincangkan di peringkat DUN.
Kita tahu Melaka antara negeri yang paling terkesan dari sudut ekonomi kerana kebergantunganya terhadap sektor pelancongan. Justeru, saya kesal kerana persidangan DUN kali ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
“Sepatutnya usul-usul berkaitan Covid-19 dan ekonomi menjadi teras perbincangan untuk mencari langkah terbaik yang dapat memacu Melaka ke hadapan.
“Bagi saya, apa yang diusulkan oleh kerajaan negeri kali ini jauh menyimpang daripada masalah utama yang dihadapi rakyat,” katanya ketika sidang akhbar di Graha Amanah Melaka, Bukit Katil sini hari ini.
Sidang DUN Melaka bermula hari ini sehingga Khamis, 23 September.
Dalam pada itu, berkenaan usul yang dibawa pembangkang, Adly berkata, demokrasi dan Parlimen adalah isu penting kerana ia adalah teras kepada isu rakyat sebelum isu dasar dan polisi kerajaan.
Menurutnya, banyak polisi kerajaan tidak dapat berfungsi dengan baik kerana wakil rakyat tidak dibenarkan berbincang bagi mencari kata putus terhadap permasalahan rakyat.
“Keduanya adalah pengurusan Covid-19 yang mana kes positif dan kematian di Melaka agak membimbangkan jika mengambil kira jumlah populasi yang tidak sampai sejuta penduduk.
“Kita sebenarnya boleh menjadi antara negeri bebas Covid-19 dan keluar dari fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih awal.
“Oleh itu, pekerja asing perlu diberi perhatian serius demi kebaikan industri. Walaupun program vaksinasi terhadap golongan ini sudah bermula, tetapi sejauh mana kawalan kita terhadap pergaulan mereka dalam komuniti?,” soalnya yang juga Ketua Pembangkang DUN Melaka.-UTUSAN ONLINE