PUTRAJAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) menganjurkan program Bicara Kenegaraan 2021 esok yang akan mengupas tajuk ‘Pendidikan Tinggi Negara: Merdekakah Kita?’ dan ‘Berfikiran Global, Bertindak Lokal: di Mana dan ke Mana Kita’.
Menurut Pengarah program itu, Prof. Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain, Bicara Kenegaraan kali ini menampilkan barisan panel berwibawa iaitu, Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Dr. Nordin Kardi; Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Norzaini Azman dan Pengasas Bait Al-Amanah, Dr. Abdul Razak Ahmad.
Selain itu ialah, Prof. Dr Zaid Ahmad (UPM), Prof. Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman (Universiti Malaya), Zainab Ahmad (Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti), Prof. Madya Dr. Janice Nga (Universiti Sains Malaysia) dan Prof. Dr. Ismi Arif Ismail (UPM) turut bersama dalam program itu.
“Program ini menyasarkan penyertaan dalam kalangan pemimpin di institusi pengajian tinggi (IPT) sama ada di peringkat universiti, politeknik dan kolej komuniti dan juga orang awam.
“Program ini akan dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff yang turut menyempurnakan prapelancaran buku bertajuk “Suara Intelek Awam Pembina Negara Malaysia” yang merupakan hasil penerbitan daripada program Bicara Kenegaraan tahun 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Izani berkata, program berkenaan bakal mengetengahkan isu dasar dan polisi pendidikan tinggi yang baik mampu mengimbangi tuntutan global dan kepentingan negara seperti penghasilan insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi serta mencipta kemakmuran bersama melalui pertumbuhan ekonomi.
Katanya, faktor sistem pendidikan tinggi yang memenuhi agenda nasional dan kekuatan ilmu lokal, mampu memerdekakan pendidikan tinggi negara kerana ilmu tempatan juga penting untuk dijana agar tidak lagi bergantung sepenuhnya dengan ilmu barat.
“Pembangunan negara bangsa bergantung kepada kekuatan ilmu yang dimiliki masyarakat khususnya kumpulan intelektual. Kita perlu beranjak daripada paradigma ilmu untuk ilmu kepada ilmu untuk masyarakat.
“Kesepaduan ilmu sangat kritikal dalam kita membangunkan negara terutama dalam situasi sukar ketika ini mengekang penularan pandemik Covid-19,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, negara perlu memanfaatkan kepakaran ahli akademik dan kumpulan intelek awam agar mereka boleh menyumbang kepada kemakmuran Malaysia.
Katanya, bidang-bidang seperti perubatan dan kesihatan awam, ekonomi, pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dan sains sosial sangat penting menjadi ramuan kepada kelangsungan Malaysia.
Pada masa sama, katanya, keperluan untuk berfikir di luar kotak dan melihat amalan terbaik di luar juga penting asalkan ia kembali menyumbang dan memenuhi keperluan negara.
“Dalam hal ini, konsep ‘Berfikiran Global, Bertindak Lokal’ boleh menjadi pendekatan terbaik dalam memacu pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE










