PUTRAJAYA: Ujian Penilaian Kelas al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) subjek bertulis bagi calon 2020 dan 2021 secara serentak yang dijadualkan pada 4 hingga 7 Oktober ini ditangguhkan ke tarikh baharu iaitu 15 hingga 18 November depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira situasi semasa serta ulasan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan keputusan kebenaran Majlis Keselamatan Negara semalam.
“Keputusan ini juga bagi memastikan keselamatan dan kesihatan murid terjamin selain pusat peperiksaan melakukan persiapan secukupnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Idris berkata, pihaknya juga membuat ketetapan hanya petugas peperiksaan yang mendapat dua dos lengkap vaksin dibenarkan untuk bertugas di semua pusat peperiksaan selari dengan usaha kerajaan pada ketika ini untuk menuju sasaran imuniti kelompok.
Kata beliau, kerajaan sentiasa memberi perhatian serius terhadap situasi semasa Pandemik Covid-19 khususnya daripada aspek keselamatan murid dan semua petugas peperiksaan.
Beliau menjelaskan, Jakim dengan kerjasama semua agensi menyediakan pelan tindakan demi memastikan UPKK dapat dilaksanakan dan berjalan lancar.
“Sebelum ini, Menteri Kanan Pendidikan membuat satu keputusan berkaitan pembukaan sesi persekolahan, yang mana akan mula dibuka pada 3 Oktober ini secara berperingkat, bermula dengan kelas peperiksaan mengikut perincian Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Selaras dengan keputusan tersebut, Jakim membuat keputusan untuk pembukaan sesi persekolahan bagi calon peperiksaan UPKK juga akan bermula pada tarikh sama mengikut ketetapan tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE










