KOTA KINABALU: Usaha mempersiapkan anak muda untuk menjadi pengundi yang cukup matang pada usia 18 tahun sudah lama dilakukan oleh UMNO.
Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, sejak Julai 2018 lagi, kepimpinan parti menurunkan had umur ahli daripada 18 tahun kepada 16 tahun sebagai langkah mendedahkan mereka dengan politik tanah air.
Malah, di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), UMNO Siswa diwujudkan bagi mengangkat suara anak muda di peringkat IPT melalui platform UMNO.
Itu antara persediaan yang dilakukan di peringkat kepimpinan parti bagi menyokong pelaksanaan Undi 18 yang sudah dipersetujui secara majoriti di Dewan Rakyat pada 2019.
“Jadi Undi 18 ini seharusnya dilaksanakan segera kerana mandat sudah diberikan di Dewan Rakyat. Maka, kita berharap Perdana Menteri dan kerajaan baharu ini akan melaksanakannya kerana ia juga tuntutan UMNO semasa menjadi pembangkang dahulu.
“Ketika ini, ia bukan lagi soal patut dilaksanakan mahupun tidak, Undi 18 perlu dilaksanakan. Bukan hanya pembangkang mahu ia dilaksanakan, kita selaku kerajaan juga mahu Undi 18 dilaksanakan tanpa ditangguh-tangguh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Aziz berkata, UMNO sudah lama mempersiapkan anak muda dengan hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.
“Kita mahu mempersiapkan belia dan menyedarkan mereka tentang tanggungjawab agar apabila sampai masanya, mereka tidak akan mengundi sesuka hati kerana itu akan merosakkan masa depan negara.
“Usia 18 tahun sudah cukup matang untuk membuat keputusan. Malah, pada usia itu pun ada yang berkahwin dan membina keluarga sendiri. Ini tanggungjawab yang jauh lebih besar berbanding memilih wakil rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember ini.
Undi 18 sepatutnya dilaksanakan pada Julai lalu namun, SPR menangguhkan pelaksanaannya sehingga September 2022. -UTUSAN ONLINE