Tukang sapu pandai bertutur 11 bahasa - Utusan Malaysia

Tukang sapu pandai bertutur 11 bahasa

MOHAMAD Azizi Bahuddin menunjukkan nota bahasa asing dicatatnya yang masih disimpan bagi memudahkan dia berinteraksi dengan pelancong di sekitar Bandar Mersing di Johor. -UTUSAN/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Kelebihan berjumpa dengan pelancong dari pelbagai negara setiap hari dimanfaatkan sebaik mungkin seorang tukang sapu yang bekerja dengan SWM Environment Sdn. Bhd. di sini untuk mempelajari bahasa asing.

Bahkan kini Mohamad Azizi Bahuddin, 42, yang telah 12 tahun berkhidmat sebagai pekerja pembersihan di sekitar pusat bandar dan kawasan tumpuan pelancong di Mersing mampu bertutur dalam 11 bahasa.

Antaranya bahasa Jerman, Sepanyol, Itali, Jepun, China, Belanda, Norway, Denmark, Ukraine, Republik Czech dan Rusia.

Katanya, minat untuk belajar bahasa asing itu bermula selepas melihat kebanyakan pelancong suka bercakap dalam bahasa negara mereka sendiri berbanding bahasa Inggeris.

“Sebagai tukang sapu di sini memang hari-hari sebelum pandemik ini saya berjumpa pelancong asing yang mahu bercuti. Mereka banyak menghabiskan masa di terminal pengangkutan awam Mersing ini sementara menunggu trip ke pulau-pulau.

“Saya juga selalu ditegur dan dirujuk oleh pelancong asing untuk mendapatkan maklumat pelancongan setempat sehingga membolehkan saya bertutur secara asas bahasa negara asing.

“Tambahan pula apabila saya menegur mereka dengan bercakap dalam bahasa Inggeris mereka tidak terlalu gemar dan tidak layan terutama pelancong dari Rusia, kebanyakan mereka memberitahu tidak suka bercakap dalam bahasa Inggeris,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini.

Katanya, dia mengambil masa dua tahun untuk mengasah kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris sebelum mempelajari bahasa lain.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, tidak dinafikan bahasa asing mempunyai nada sebutan yang berlainan yang membuatkan ia agak sukar untuk dipelajari. Namun rata-rata pelancong asing amat teruja apabila dia dapat berbual dalam bahasa ibunda mereka.

“Setiap kali berbual dengan mereka saya akan catat di kertas agar tidak lupa. Setakat berborak tentang hal yang asas itu saya boleh. Ada pelancong yang menjadi kenalan saya dan kami masih berhubung melalui media sosial.

Meskipun sekadar pekerja pembersihan saya anggap saya antara paling hampir dengan pelancong di sekitar Bandar Mersing secara tidak langsung berperanan membantu mereka mendapatkan maklumat pelancongan.

“Kemahiran yang diajar kepada saya juga sentiasa ditambah baik agar memudahkan saya berkongsi maklumat, memudahkan pelancong dan memberi gambaran positif kepada daerah Mersing disamping kebersihan persekitaran yang sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.

Penerima anugerah pekerja cemerlang dari SWM Environment itu yang memulakan pekerjaan seawal pukul 7.30 pagi hingga 4.30 petang turut meluahkan rasa sedih ekoran ketiadaan pelancong gara-gara Covid-19 sejak lebih setahun yang lalu.

Dia yang menetap di Kampung Makam Mersing, di sini berkata, suasana sebelum pandemik amat dirindui dan berharap daerah Mersing akan kembali menerima pelancong seperti biasa.

Katanya dalam masa sama dia turut mempersiapkan diri dengan maklumat tentang penjualan kelengkapan perlindungan diri (PPE), hospital dan klinik berhampiran sekiranya diperlukan oleh para pelancong untuk mendapatkan rawatan kesihatan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya