Tok Guru Pak Teh  Mad sempat solat sehingga ke hujung nyawa - Utusan Malaysia

Tok Guru Pak Teh  Mad sempat solat sehingga ke hujung nyawa

ALLAHYARHAM PAK TEH MAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: ALOR SETAR: Tokoh ulama Kedah, Datuk Ahmad Mohd. Nor atau lebih dikenali sebagai Tok Guru Pak Teh Mat, 96, meninggal dunia di Hospital Kuala Nerang hari ini akibat jangkitan paru-paru.

Menurut anaknya, Wan Najidah Ahmad, 46, Allahyarham menghembus nafas di sisi dua doktor yang merawatnya pada pukul 12.57 pagi.

“Doktor beritahu ada jangkitan pada paru-paru arwah. Ayah dimasukkan ke hospital pada malam Jumaat lepas dan kesihatannya merosot walaupun kuman di paru-paru sedikit sahaja. Tuhan lebih sayangkan arwah, kami reda.

“Arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang Gelanggang Kuala Nerang hari ini dan pengebumian akan diuruskan oleh pihak hospital,” katanya di sini hari ini.

Kata Wan Najidah, anggota keluarganya reda kerana tidak berpeluang menguruskan pengebumian tersebut memandangkan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan.

“Saya harap semua doakan permudahkan urusan ayah saya. Kami sekeluarga reda kerana sejak dibawa ke hospital Jumaat kami langsung tidak boleh ziarah arwah. Kebumi pun hospital akan uruskan,” katanya.

Bercerita lanjut katanya, Allahyarham sempat meminta kakitangan hospital mengurusnya untuk solat Isyak sebelum tidur semalam.

“Arwah suka solat walaupun tak sihat ayah akan solat dengan sempurna iaitu berdiri. Cuma bila keadaan kesihatannya makin tidak baik ayah akan solat duduk.

“Semalam ayah sempat solat sehingga hujung nyawanya, “ katanya.

Ahmad meninggalkan seorang isteri, Datin Wan Salehah Wan Ibrahim, 83 dan 10 anak.

Dilahirnya pada 16 November 1925 di Kampung Tanjung  Mukim Padang Terap, Allahyarham merupakan Pengasas Maktab Mahmud Padang Terap dan Pondok Ahmadiah di sini.

Allahyarham mendapat pendidikan di Sekolah Melayu Padang Terap; Madrasah Sa’adatun Daroian, Merbok; Pondok Pulau Rotan, Nako Nambua; Madrasah Al-Islamiah, Gajah Mati dan Madrasah Soulatiyyah, Mekah.

Kehilangan Allahyarham disifatkan kehilangan besar dalam institusi keagamaan negara apabila Ahmad menabur bakti sehingga hujung nyawanya di madrasah berkenaan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya