Tiga zon 'hotspot' di Langkawi diberi tumpuan patuh SOP  - Utusan Malaysia

Tiga zon ‘hotspot’ di Langkawi diberi tumpuan patuh SOP 

SAIFUL ANWAR AZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Sebanyak tiga zon ‘hotspot’ atau lokasi tumpuan pelancong yang dikenal pasti untuk dilakukan pemantauan dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah penularan Covid-19 sempena pembukaan semula pulau peranginan ini mulai esok.

 

Pengerusi Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi, Saiful Anwar Azmi berkata, tiga zon tersebut melibatkan zon satu sekitar kawasan Pekan Kuah hingga ke Ayer Hangat, zon dua membabitkan kawasan dari Ayer Hangat hingga ke Pantai Kok serta zon tiga dari Pantai Kok hingga ke Pantai Tengah.

 

Menurutnya, zon ‘hotspot’ itu dibahagikan kepada tiga zon untuk mudah untuk pemantauan SOP dibuat.

 

“Di dalam setiap zon ini, terdapat lokasi atau produk pelancongan yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

 

“Team pemantauan SOP akan bergerak membuat pemantauan di lokasi pelancongan mengikut zon tersebut dan mereka akan pastikan semua SOP gelembung pelancongan dipatuhi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

 

Pengumuman pembukaan pintu Pulau Langkawi kepada pelancong diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob pada 12 September lalu.

 

Beliau diminta mengulas mengenai persediaan berkaitan pemantauan pematuhan SOP ke atas pelancong yang akan mengunjungi Langkawi susulan pembukaan semula pulau itu di bawah projek rintis gelembung pelancongan mulai esok.

 

Katanya, antara lokasi atau produk pelancongan yang kebiasaannya menjadi tumpuan pelancong di Langkawi termasuk Terminal Jeti Kuah, Dataran Lang, pusat beli belah, premis bebas cukai, lapangan terbang, pusat pelancongan, pusat sukan dan rekreasi serta pantai.

 

Dalam pada itu, Saiful Anwar yang juga Pegawai Daerah Langkawi berkata, sebanyak enam jawatankuasa kecil diwujudkan di bawah Task Force Gelembung Pelancongan Langkawi yang akan berperanan memastikan projek rintis gelembung pelancongan itu berjalan lancar dan berjaya.

 

Katanya, jawatankuasa kecil tersebut adalah Jawatankuasa Pandemik, Jawatankuasa Penguatkuasaan dan Keselamatan, Jawatankuasa Kawalan Pintu Masuk, Jawatankuasa Pelancongan, Jawatankuasa Pengindahan Bandar dan Jawatankuasa Komuniti.

 

“Pelbagai agensi terlibat sama dalam jawatankuasa-jawatankuasa ini termasuk agensi kerajaan, badan berkanun dan badan bukan kerajaan…(Kita harap) Langkawi akan jadi pusat pelancongan yang terbaik bukan sahaja di peringkat negara ini tetapi di peringkat dunia,” katanya.

 

Ahad lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setiap agensi di Langkawi sama ada kerajaan, swasta, badan berkanun serta persatuan-persatuan yang diberi peranan menjayakan projek rintis gelembung pelancongan Langkawi perlu melaporkan aktiviti mereka kepada task force itu. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN