'Tidak sabar jumpa rakan-rakan' - Utusan Malaysia

‘Tidak sabar jumpa rakan-rakan’

KHAIRY Jamaluddin (tengah) dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Seri Dr. Radzi Jidin (enam kiri) bergambar bersama pelajar, Haziq Zafri Hiruddin, 17, selepas menerima suntikan vaksin pada PICK Remaja di SMK Presint 8 (1) Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : “Saya rasa sangat lega lepas ambil vaksin ini dan tidak sabar untuk jumpa kawan-kawan,” kata Muhammad Ihsan Syafiqin Idris, 17.

Muhammad Ihsan adalah antara 323 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 8 (1) yang menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 remaja (PICK Remaja), hari ini.

Muhammad Ihsan berkata, sebelum ini dia akui takut untuk keluar rumah kerana bimbang dijangkiti Covid-19.

“Selepas ini, saya boleh keluar bersukan bersama kawan-kawan,” katanya.

Katanya, dia juga menasihatkan remaja lain untuk mengambil vaksin kerana ia boleh membantu mengurangkan risiko akibat jangkitan Covid-19.

Muhammad Ihsan berkata, dia percaya dengan keberkesanan vaksin Covid-19 kerana ia dihasilkan menerusi penyelidikan yang lama dan diakui di seluruh dunia.

Sementara itu, ibu Muhammad Ihsan, Mas’amah Ibrahim, 54, ketika ditemui berkata, dia sangat bersyukur kerana anaknya antara remaja terawal di Putrajaya yang menerima vaksin Covid-19.

Menurutnya, dia juga akui tidak lagi bimbang untuk membawa anaknya itu untuk keluar dari rumah.

“Dalam keluarga saya, hanya dia (Muhammad Ihsan) yang belum divaksin. Selepas ini, lebih mudah untuk kami bawa dia keluar dan juga pulang ke kampung.

“Saya juga percaya anak saya kelak akan lebih yakin untuk menjalani kehidupan dalam norma baharu ini termasuk ke sekolah, bersukan dan bertemu kawan-kawannya,” katanya yang juga Penolong Kanan Pentadbiran SMK Putrajaya Presint 8 (1). -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN