PETALING JAYA: Tiada undang-undang menyatakan rakyat Malaysia wajib menerima suntikan vaksin Covid-19 sekali gus golongan antivaksin tidak boleh dipersalahkan.
Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar berkata, ketiadaan undang-undang tersebut disebabkan pengambilan suntikan vaksin itu seharusnya diambil secara sukarela dan tiada paksaan oleh mana-mana pihak.
Katanya, keadaan itu berkait rapat dengan undang-undang hak asasi manusia melibatkan tubuh badan dan individu itu mempunyai hak kepada tubuh badannya daripada disakiti oleh orang lain.
“Itu terpulang kepada individu tersebut kerana pengambilan suntikan vaksin harus dicucuk dengan jarum dan tidak ada pihak yang boleh memaksa individu tersebut mengambil vaksin.
“Oleh kerana hak asasi ini, tiada lagi undang-undang untuk mewajibkan pengambilan vaksin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia .
Semalam, dua remaja lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan di Selangor membuat laporan polis menyatakan hak mereka untuk menolak suntikan vaksin Covid-19 yang akan dilaksanakan kerajaan terhadap pelajar.
Pakar Sosial, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran pula berkata, umum mengetahui pengambilan suntikan vaksin dilakukan secara sukarela, namun rakyat seharusnya melihat secara menyeluruh dan rakyat Malaysia perlu bertanggungjawab untuk memastikan negara bebas daripada Covid-19.
Katanya, hanya dengan usaha beberapa pihak tidak dapat membantu negara mencapai tahap imuniti kelompok, tetapi memerlukan kerjasama kesemuanya, jadi diharapkan rakyat untuk bersatu dan memahami usaha kerajaan.
“Golongan antivaksin perlu memikirkan kesan dalam jangka masa panjang dan kita telah mengetahui vaksinasi ini tidak ada kesan buruk kepada diri berdasarkan kajian yang telah dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE










