Tiada keperluan lantikan bertaraf menteri - Utusan Malaysia

Tiada keperluan lantikan bertaraf menteri

Dr. Azmi Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelantikan pemimpin politik ke jawatan bertaraf menteri tidak sepatutnya berlaku ketika mereka dikaitkan dengan beberapa siri kegagalan pada pentadbiran terdahulu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, geostrategis, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, jawatan itu bukan satu keperluan sebaliknya kerana tuntutan politik bagi ‘menghargai’ ketua-ketua parti kerajaan.

Katanya, mengambil situasi pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), ia menyebabkan jemputan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada pembangkang untuk menyertai majlis itu sudah tidak terpakai.

“Masalah berlaku apabila Muhyiddin pula dilantik mempengerusikan MPN dan pembangkang sejak awal lagi mendakwa beliau gagal dalam menguruskan krisis kesihatan.

“Jadi, bagaimana mungkin pembangkang boleh turut serta? Muhyiddin sebenarnya ada pilihan lain iaitu dilantik sebagai Menteri Mentor atau duta khas kerajaan sahaja kerana jawatan ini tidak ‘mengganggu’ portfolio dalam Kabinet,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menyentuh soal peranan yang dibawa tiga duta khas bertaraf menteri iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Tiong King Sing (PDP) ke China dan Datuk Seri Richard Riot (SUPP) ke Asia Timur, kata Azmi, mesti ada Petunjuk Prestasi Utama (KPI) diberikan.

Hal itu kerana, ketiga-tiga mereka yang disambung perkhidmatan oleh Perdana Menteri didakwa hanya makan ‘gaji buta’ di sebalik jawatan yang disandang.

“Seperti Abdul Hadi, mungkin beliau berperanan dalam meredakan ketegangan antara Arab Saudi dengan Qatar. Inilah tugas duta khas kenapa Malaysia perlu berbaik dengan kedua-dua negara ini,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin yang berundur dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akibat hilang kepercayaan sebagai Ketua Kerajaan dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf Menteri manakala ketiga-tiga duta khas berkenaan disambung perkhidmatan lebih awal.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, sekarang bukan lagi masa untuk ‘mencuba dan ralat’.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan mesti memberi peluang kepada pemimpin yang sudah terbukti mampu membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan politik tidak stabil.

“Sepatutnya kerajaan melantik pemimpin yang diyakini boleh mengendalikan krisis bukannya melantik individu yang sudah dilihat gagal tetapi masih memainkan peranan tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN