KUANTAN: Teruja dengan tawaran lumayan yang dijanjikan dalam tempoh 48 jam selepas melabur, seorang ahli perniagaan akhirnya terpedaya apabila menjadi mangsa penipuan saham digital yang ditawarkan dalam laman sosial Facebook, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa yang berasal dari Raub berusia 59 tahun itu memperoleh maklumat tentang pelaburan tersebut ketika melayari Facebook di kediamannya.
Menurutnya, mangsa menghubungi nombor telefon syarikat terbabit melalui aplikasi WhatsApp bagi mengetahui lebih lanjut skim pelaburan itu.
“Mangsa kemudiannya dihubungi suspek bernama ‘Puan Rosmawati Darmadi’ yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai pelaburan syarikat.
“Suspek memberitahu skim pelaburan ditawarkan syarikat itu adalah pelaburan saham digital dan mangsa berpeluang memperoleh pulangan lumayan dalam tempoh 48 jam selepas melabur.
“Mangsa yang teruja apabila suspek memaklumkan pelabur akan mendapat RM16,000 jika melabur RM500 di syarikat terbabit, menyatakan persetujuan menyertai skim itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, suspek meminta mangsa menghantar butiran peribadi dan salinan penyata akaun bank bagi urusan pendaftaran sekali gus mengarahkannya memindahkan sejumlah wang ke dua nombor akaun diberikan untuk tujuan pemprosesan.
“Sejak Jumaat lalu hingga semalam, mangsa mendakwa sudah membuat lima kali transaksi pemindahan wang ke dua nombor akaun diberikan suspek dengan nilai keseluruhan RM2,980.
“Mangsa mula menyedari ditipu selepas suspek terus mendesaknya memindahkan sejumlah lagi wang kononnya untuk pelbagai urusan lain membabitkan pelaburan itu.
“Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Raub semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. -UTUSAN ONLINE