Terengganu beralih fasa 3, lebih banyak kelonggaran SOP baharu - Utusan Malaysia

Terengganu beralih fasa 3, lebih banyak kelonggaran SOP baharu

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk  membenarkan peralihan ke Fasa 3 bagi negeri Terengganu berkuat kuasa Jumaat ini

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik semalam yang turut memutuskan empat sektor termasuk sosial dan pendidikan menikmati kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) baharu.

 

Beliau berkata, kelonggaran baharu itu menyaksikan Taman Bimbingan Kanak-Kanak(Tabika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Pusat Jagaan Harian dan Pusat Perkembangan Minda dibenarkan beroperasi di negeri Fasa 1 dan Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) sahaja.

 

Namun, kata beliau, pengoperasian itu bagi anak-anak yang ibu bapanya bekerja dan operator serta pekerja di pusat–pusat itu perlu menerima vaksinasi lengkap sebelum dibenarkan beroperasi.

 

“Kelonggan sektor sosial dan pendidikan juga turut menyaksikan pengoperasian Institut Latihan Sektor Pengangkutan Udara dan Darat dibenarkan bagi negeri Fasa 2 PPN,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

 

Ismail Sabri berkata, bagi sektor rekreasi, Perdana Menteri berkata, kebenaran aktiviti kolam memancing dalam tempoh PPN dengan dibenarkan untuk negeri Fasa 1 dan 2 dengan mematuhi syarat vaksinasi lengkap berdasarkan waktu pengoperasian yang ditetapkan.

 

Beliau turut mengumumkan kelonggaran sektor sosial bagi aktiviti sukan dan rekreasi yang kini membenarkan sukan sentuhan fizikal melibat pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup.

 

“Aktiviti rekreasi berpasukan melibatkan sentuhan fizikal bola sepak bola tampar, takraw dan lain-lain dibenarkan  mengikut kapasiti penuh sukan tersebut, namun, terhad kepada individu lengkap vaksinasi.

 

“Aktiviti kecergasan individu seperti senamrobik, zumba dan seumpamanya yang dilakukan secara berkumpulan di kawasan  sama juga dibenarkan dengan mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 50 orang (mana-mana yang lebih rendah) bagi individu yang lengkap divaksin,” katanya.

 

Perdana Menteri turut menambah, aktiviti ziarah kubur Islam dan bukan Islam dibenarkan di setiap Fasa PPN masing-masing dengan mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara.

 

Selain itu, kata beliau, kapal persiaran juga dibenarkan dibuka di setiap Fasa PPN dengan 50 peratus kapasiti yang mana semua anak kapal dan penumpang mesti lengkap divaksin.

 

Dalam pada itu, jelas beliau, bagi kelonggaran sektor pekerjaan dan ekonomi, Perdana Menteri berkata, 11 jenis perniagaan di bawah sektor berkenaan dibenarkan kembali beroperasi berkuat kuasa 17 September ini di negeri Fasa 1 dengan syarat vaksin yang telah ditetapkan. 

 

Beliau menjelaskan, ia termasuk kedai barang fotografi atau perkhidmatan fotografi, kedai barangan terpakai, kedai bunga dan nurseri, kedai kraftangan dan cenderahati, kedai antik, kedai alat permainan, kedai permaidani dan kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif.

 

Selain itu, kata beliau, adalah kedai outdoor termasuk peralatan perkhemahan, memancing dan lain-lain, kedai kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau termasuk vape dan rokok elektronik.

 

Mengulas lanjut, Ismail Sabri mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran SOP yang diumumkan kerajaan mendapati orang ramai mula mengabaikan SOP yang ditetapkan. 

 

 Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus patuh pada SOP untuk memutuskan  rantaian jangkitan Covid-19. 

 

“Kesediaan kerajaan membenarkan lebih banyak kelonggaran tidak bermakna kita  sudah boleh mengabaikan langkah-langkah keselamatan yang diamalkan selama  lebih setahun ini. 

 

“Justeru, saya berharap kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini  dapat dimanfaatkan oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab,” katanya.

 

Perdana Menteri pada masa sama menegaskan, pihak penguat kuasa sentiasa memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas  sekiranya didapati ada pihak yang melanggar garis panduan yang telah ditetapkan.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN