PETALING JAYA : Tindakan menarik balik lesen kepada warga emas yang berumur 70 tahun bukan pendirian Kementerian Pengangkutan (MOT).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ini kerana umur bukan penyebab suatu kemalangan berlaku dan ia perlu dilihat pada gambaran yang lebih menyeluruh di mana 80 peratus kemalangan berlaku disebabkan faktor manusia, 13 peratus lagi disebabkan kenderaan.
Sementara baki tujuh peratus adalah kerana faktor persekitaran.
“MOT tidak pernah bagi arahan untuk mensyaratkan warga emas melebihi 70 tahun untuk menarik lesen, tidak pernah, kerana kompetensi setiap orang berlainan.
“Macam Yang Berhormat Langkawi, beliau dapat memandu dengan baik, jauh lebih baik daripada orang yang gila-gila bawa kereta atas jalan raya. Tidak boleh ada diskriminasi bagi mereka yang umur 70 tahun. Ini bukan pendirian MOT.
“Dan kita tidak berhajat pun melakukan perkara itu kerana kompetensi bukan kerana faktor umur. Dan kita juga lihat banyak faktor yang menyebabkan kemalangan ini berlaku,” katanya bagi menjawab soalan tambahan dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Syed Ibrahim Syed Noh (PKR-Ledang) meminta kerajaan menjelaskan apakah langkah kerajaan dalam menurunkan statistik kemalangan selain menghadkan umur warga emas sebagai jalan terakhir untuk mengelakkan kemalangan. -UTUSAN ONLINE










