KUALA LUMPUR: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa menerima permintaan daripada ahli-ahli parti yang mahukan beliau bertanding salah satu daripada tiga jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan parti akan datang.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu mendakwa ahli-ahli parti itu meyakini kemampuannya membawa perubahan dalam parti dan memberikan khidmat seperti yang diinginkan oleh mereka.
“Saya menawarkan diri untuk jawatan top 3. Ada yang ingin melihat saya untuk memberikan khidmat kepada parti. Ada yang kata kalau saya bertanding Naib Presiden, insya-Allah boleh menang. Ada yang kata, kenapa bertanding yang susah-susah? Cari tempat yang boleh menang sahaja.
“Ada yang kata mungkin Timbalan Presiden. Jadi sama ada Presiden, Timbalan Presiden atau Naib Presiden. Saya bukan nak kejar jawatan, tetapi yang saya kejar adalah perkhidmatan kepada parti dan rakyat,” katanya semalam.
Mengulas lanjut, beliau yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO menyokong agar pemilihan parti itu dipercepatkan untuk membina balik kesatuan dalam kalangan parti sebagai persediaan menghadapi PRU.
Katanya, jika ada yang mendakwa bahawa pemilihan akan menyebabkan perpecahan parti, maka perkara itu harus diselesaikan dengan cepat supaya tidak lagi menjadi kebimbangan ahli UMNO itu sendiri.
“Sekarang parti tidak sekata, pelan tindakan, strategi perbincangan pun tidak ada. Perbincangan dalam kalangan kepemimpinan sama ada peringkat pusat, negeri, peringkat bahagian pun tidak ada, perbincangan ke arah pilihan raya, apa perlu dilakukan untuk mengukuhkan jentera parti?
“Kepemimpinan UMNO tidak menunjukkan bahawa parti UMNO di semua peringkat faham dari segi hala tuju. Ini menunjukkan kelemahan dalaman parti. – UTUSAN










