Tabah berniaga walau derita lima penyakit kronik - Utusan Malaysia

Tabah berniaga walau derita lima penyakit kronik

NURUL Haslina Mohamad menunjukkan pelbagai lauk-pauk yang dijual di Kedai Makan Kak Na yang dibuka di Kampung Surau, Pasir Puteh, hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Di sebalik wajah tenang pengusaha warung, Nurul Haslina Mohamad, 35, tiada siapa tahu derita ditanggungnya apabila menghidap pelbagai lima jenis penyakit kronik sehingga perlu mengambil 42 biji ubat setiap hari.

Wanita dari Kampung Surau, di sini itu menderita penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) yang menyebabkan kulitnya menggelupas dan sendi membengkak jika terkena cahaya matahari sejak 20 tahun lalu.

Selain itu, Nurul Haslina juga menghidap penyakit buah pinggang, asma kronik, masalah injap jantung bocor dan pada Ogos tahun lalu, dia sekali lagi diuji apabila disahkan mengidap kanser payudara tahap empat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nurul Haslina berkata, demi tiga anak yang masih bersekolah, dia menguatkan semangat untuk mencari rezeki dengan cara mengusahakan sebuah warung bersama suami sejak tiga minggu lalu di kampung itu.

Katanya, untuk memulakan perniagaan itu, dia dan suami Mohd. Zuki Mohd. Razizan, 34, bermodalkan RM6,000 yang dikumpul hasil pengeluaran i-Citra dan sedikit wang simpanan mereka.

“Anak sulung, Mohd. Rusdan Firdaus Mohd. Zuki, 15, turut menghidap jantung tersumbat manakala anak bongsu Norraina Mikaila, 2 tahun menghidap penyakit saluran air mata tersumbat dan lelah.

“Warung yang kami usahakan ini disewa dengan kadar RM450 sebulan. Saya harap perniagaan ini menjadi kerana kami memerlukan banyak wang untuk menampung kos rawatan saya dan dua anak yang turut memerlukan jagaan rapi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Nurul Haslina memberitahu, baru-baru ini dia menerima derma berjumlah RM10,000, sumbangan hamba Allah serta Kelab Kebajikan dan Sukarelawan Sosial Kelantan (KELSS) dan wang tersebut akan digunakan bagi membiayai pembedahan perlu dijalaninya tidak lama lagi.

“Setakat ini perniagaan kami dibantu anak-anak saudara menerima sambutan positif kerana banyak menerima tempahan untuk dihantar ke rumah- rumah,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh.

Kedai Makan Kak Na yang diusahakan Nurul Haslina menjual pelbagai lauk-pauk untuk makan tengah hari, selain turut menyediakan masakan panas, mee celup, bakso serta sate yang dijual dengan harga murah 60 sen secucuk. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya