PETALING JAYA : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong akan menjalankan fungsi-fungsi Yang di-Pertuan Agong sepanjang Lawatan Khas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke United Kingdom (UK) yang bermula hari ini.
Istana Negara memaklumkan, ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 33 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Istana Negara, Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mengadakan Lawatan Khas ke UK bermula hari ini.
“Dalam Lawatan Khas kali ini, Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat melawat Projek Battersea Power Station di London, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Belgrave Square dan Pusat Penyelidikan Tun Abdul Razak (TARRC) di Brickendonbury, Hertford.
“Atur cara Lawatan Khas turut diisi dengan pertemuan antara Seri Paduka Baginda berdua bersama komuniti rakyat Malaysia di London,” kata kenyataan Istana Negara dalam Facebook pada hari ini.
Dalam pada itu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong turut dijadualkan berangkat menghadiri Sandhurst Reunion Dinner di Royal Military Academy Sandhurst dan Seri Paduka pernah menimba ilmu ketenteraan di akademi berkenaan dari 1978 hingga 1979.
“Seri Paduka Baginda turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Sir General Nicholas Carter, Ketua Staf Pertahanan United Kingdom, yang akan menyentuh hubungan kerjasama ketenteraan dua hala Malaysia dan United Kingdom. Sir General Nicholas Carter juga pernah menuntut di Royal Military Academy Sandhurst.
“Usai Lawatan Khas ini, Seri Paduka Baginda berdua berkenan beristirahat di London bermula dari 27 September. Seri Paduka Baginda berdua dijadualkan berangkat pulang ke tanah air pada 23 Oktober,” kata kenyataan itu lagi.
Lawatan Khas ini merupakan yang kali kedua bagi Seri Paduka Baginda ke UK sejak dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16. Lawatan Khas yang pertama diadakan pada bulan Disember 2019, selama tujuh hari bermula pada 9 Disember, 2019. -UTUSAN ONLINE










