SPR diarah laksana Undi18 serentak undi automatik - Utusan Malaysia

SPR diarah laksana Undi18 serentak undi automatik

WAN Junaidi Tuanku Jaafar bercakap dalam sidang akhbar di Menara SPR, Putrajaya- UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 5.6  juta rakyat Malaysia termasuk yang belum mendaftar sebagai pengundi akan berpeluang menjadi pemilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jumlah itu meliputi 1.2 juta golongan remaja sudah berusia 18 tahun sehingga 21 tahun selain 4.4 juta lagi individu berumur 21 tahun ke atas yang langsung tidak pernah mendaftar.

“Ini bermakna SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) perlu membuat persediaan awal yang lebih besar terutama dari segi bilangan petugas bagi hadapi PRU akan datang nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

 Terdahulu, beliau mengadakan mesyuarat sulung dengan pihak pengurusan SPR di ibu pejabat agensi tersebut yang turut disertai sama timbalannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dengan turut menyentuh isu pendaftaran automatik bagi remaja sudah capai had minimum usia 18 tahun susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching di Sarawak pada minggu lalu.

 Mengulas isu itu, Wan Junaidi dalam nada tenang berkata, setakat ini pihak SPR dan Pejabat Peguam Negara tidak berhasrat membuat rayuan menafikan keputusan dibuat mahkamah.

 “Jika diteliti, kerajaan tidak kalah pun dan hakim mahkamah juga tidak salah, kerana memang perkara itu akan dilaksanakan namun isunya ialah bilakah tempoh masa sesuai,” katanya.

 Kerajaan ujarnya, berpendapat ia boleh diimplementasi paling lewat pada September 2022 berdasarkan kerangka kerja telah ditetapkan setelah usul itu diwartakan Parlimen pada 2018.

 Bagaimanapun, ekoran keputusan mahkamah berkenaan, beliau sudah mengarahkan SPR agar dapat terus mempercepatkan proses itu seawal-awalnya siap pada Januari tahun depan.

 Namun, langkah ini memerlukan gerak kerja pantas termasuk dari segi penyelarasan data terkini rakyat yang direkodkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi melibatkan golongan itu.

 “Ini bermakna SPR kena kerja tambahan dengan koordinasi pihak JPN selain dibuat proses pemutihan daftar individu yang sudah mati tetapi tidak pernah dimaklumkan oleh waris,” katanya.

 Jumlah itu kata Wan Junaidi, melibatkan lebih setengah juta rekod individu yang belum dinyah senarai JPN sehingga masih ada dalam sistem SPR menyimpan pengundi berusia 150 tahun.

 Dalam nada optimis, beliau berkeyakinan proses itu sepatutnya tiada masalah besar kerana mereka yang selama ini malas mendaftar, tidak perlu risau apabila akan didaftarkan automatik.

 Masalah hanya melibatkan rekod kematian tidak dikemas kini dan ia jelasnya, memberi kesan kepada SPR apabila data pemilih didapati ramai padahal angka itu termasuk meninggal dunia.

 “Pada masa sama, masih ada lima negeri lagi yang tiada peraturan mengenai had umur calon paling muda bagi bertanding dalam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu,” ujar beliau.

 Parlimen Malaysia setakat ini ada tempoh lagi sehingga 16 Julai 2023 sebelum Dewan Rakyat terbubar secara automatik bagi pelaksanaan PRU ke-15 meliputi 222 kerusi seluruh negara.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuching dalam keputusannya mengarahkan Ke­ra­jaan Persekutuan untuk me­­laksana­kan Undi18 selewat-lewatnya pada 31 Disember ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu yang tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.

Pada 25 Mac lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh memaklumkan bahawa Undi18 dijangka hanya boleh dilaksa­nakan selepas 1 September 2022 setelah menilai semula pelbagai kekangan dan isu yang telah menjejaskan peranca­ngan dan persiapan awal SPR.

Bagaimanapun beliau berkata, SPR komited dengan pelaksanaan pendaftaran pemilihan automatik dan Undi18 seperti yang diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada PRU-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya