[SIDANG DUN SABAH] 144,248 orang remaja Sabah divaksin - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN SABAH] 144,248 orang remaja Sabah divaksin

SHAHELMEY Yahya (kanan) berbincang bersama Ruslan Muharam (PBS-Lumadan) sebelum persidangan DUN Sabah bermula hari ini.-IHSAN Jabatan Penerangan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Program imunisasi remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah sudah mencapai 33.8 peratus atau 144,248 orang bagi pemberian dos pertama sejak ia dilaksanakan bermula 16 September sehingga Selasa lalu.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir. Shahelmey Yahya berkata, perkembangan itu menunjukkan pemberian vaksinasi bagi golongan remaja di Sabah mendapat sambutan menggalakkan.

Sehingga Selasa, secara keseluruhan, pencapaian pemberian vaksinasi bagi penduduk dewasa Sabah mencapai 72.1 peratus bagi dos pertama manakala, 59.4 peratus bagi dua dos yang lengkap. Di Sabah, seramai 2.75 juta penduduk dewasa layak divaksin.

Sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dimulakan, Sabah sudah menerima sebanyak 5.04 juta vaksin dan bagi September ini sahaja tambahan sebanyak 2.89 juta dos dibekalkan ke Sabah.

Daripada 5.04 juta vaksin yang diterima, ia termasuk 3.38 juta dos vaksin jenis Pfizer, Sinovac 1.28 juta dos, AstraZeneca 189,990 dos dan CanSino 180,000 dos.

“Ini bermakna bekalan vaksin bagi negeri Sabah adalah mencukupi untuk kita menjalankan program imunisasi.

“Pada masa ini, terdapat 46 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam, 12 PPV integrasi, sebuah PPV Insitutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), 81 PPV kesihatan, 83 PPV swasta dan sebuah PPV Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) dengan keseluruhan kapasiti sebanyak 83,140 dos sehari,” katanya dalam ucapan penggulungan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 hari ini.

Mengulas lanjut katanya, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan kadar pemberian vaksin di Sabah agak perlahan termasuk pendaftaran penduduk berusia 60 tahun ke atas dalam sistem MySejahtera amat rendah.

“Faktor lain ialah bekalan vaksin yang terhad sebelum pertengahan Julai maka, kerajaan negeri terus berusaha untuk mempertingkatkan kadar vaksinasi di negeri ini.

“Sabah dijangka mencapai imuniti kelompok menjelang hujung Oktober depan dan usaha-usaha yang dijalankan termasuklah memperbanyakkan PPV, melaksanakan lebih banyak kempen kesedaran imunisasi, mendapatkan bekalan vaksin yang mencukupi dan melaksanakan pemberian vaksin secara datang terus (walk-in) untuk penduduk termasuk penduduk bukan warganegara,” katanya.

Shahelmey (UMNO-Tanjung Keramat) berkata, bagi mempertingkatkan bilangan penduduk Sabah divaksin, sebanyak 733 program jangkauan luar (outreach) dilaksanakan dengan membabitkan 358,284 penduduk manakala, sebelum penghujung September, sebanyak 268 program jangkauan luar lagi akan diadakan.

Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan Bantuan Sabah Prihatin oleh kerajaan negeri, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) telah mengagihkan sebanyak 1.036 juta bakul makanan kepada golongan sasar dan terkesan akibat pandemik Covid-19.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya