[SIDANG DUN KEDAH] 'Saya tidak akan mohon maaf' - Sanusi - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN KEDAH] ‘Saya tidak akan mohon maaf’ – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan beliau tidak akan memohon maaf kepada mana-mana pihak kerana mendedahkan berlakunya pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) Kedah ke satu akaun di luar negara ketika Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menjadi Menteri Besar.

Malah katanya, dokumen-dokumen berkaitan perkara itu sudah pun sampai kepada pihak berkuasa dan berharap supaya pihak terlibat dapat melakukan siasatan seadil-adilnya.

Dalam masa sama, katanya, beliau juga berharap supaya wang tersebut dapat dikembalikan kepada MBI pada masa akan datang.

“Saya takkan minta maaf dan sudah buat apa yang sepatutnya dilakukan. Tentang negara mana duit itu sampai, nanti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat.

“Kalau pemindahan wang itu berlaku dan duit masih ada, harap boleh dipulangkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mukhriz semalam yang memintanya membuat laporan kepada pihak berkuasa agar isu itu dapat disiasat atau memohon maaf kerana membuat tuduhan tersebut.

Sementara itu, pada sidang akhbar tersebut, Muhammad Sanusi turut menunjukkan dokumen yang didakwa mempunyai kaitan dengan urusan pemindahan wang tersebut serta telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Terdapat empat transaksi dilakukan dengan yang pertama berjumlah RM3.295 juta dan kedua sebanyak RM3.315 juta.

“Transaksi ketiga bernilai RM3.305 juta manakala transaksi keempat pula membabitkan wang berjumlah RM3.278 juta,” katanya.

Terdahulu ketika sesi penggulungan di Sidang DUN, Mukhriz turut bangun mencelah untuk mendapatkan penjelasan lebih lanjut daripada Muhammad Sanusi berhubung perkara itu.

Namun Muhammad Sanusi menyatakan perkara tersebut tidak dibangkitkan dalam mana-mana sesi perbahasan sebelum ini menyebabkan beliau tidak akan menjawabnya dalam sesi penggulungan itu.

“Cuma saya nak beri penjelasan bahawa peristiwa itu berlaku pada 2014. Berlaku empat transaksi dana dari MBI kepada syarikat yang menggunakan Bank Barclays,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya