Selaraskan harga jualan kit ujian kendiri Covid-19, kelonggaran berakhir hari ini - Utusan Malaysia

Selaraskan harga jualan kit ujian kendiri Covid-19, kelonggaran berakhir hari ini

Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Perdaganan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah membuat penetapan harga siling bermula 5 September lalu dengan harga runcit RM19.90 dan jualan pukal RM16. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada pemilik premis borong dan runcit membuat penyelarasan harga jualan kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) sehingga hari ini.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, peniaga turut diberi peringatan bahawa selepas tamat tempoh kelonggaran, tindakan tegas akan dilaksanakan ke atas peniaga sekiranya gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011). 

Beliau berkata, hasil pemeriksaan sehingga 9 September lalu mendapati tahap pematuhan peniaga runcit adalah baik iaitu sejumlah 606 (86.20 peratus) premis patuh dan 36 (5.12 peratus) premis jual di bawah paras harga maksimum ditetapkan.

Katanya, ia membabitkan 703 pemeriksaan di seluruh negara meliputi 46 premis borong dan 657 premis runcit termasuk premis berkaitan seperti farmasi dan fasiliti kesihatan di seluruh negara. 

“Bagaimanapun, terdapat 28 premis (3.98 peratus) yang masih gagal membuat persediaan mematuhi perintah harga maksimum yang diumumkan.

“Pemeriksaan turut mengenal pasti 33 premis (4.69 peratus) yang tidak menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 dan situasi ini tidak menjejaskan prestasi keberadaan bekalan kit ujian kerana secara keseluruhannya bekalan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Azman berkata, KPDNHEP juga amat menyambut baik hasrat para peniaga yang hendak meneruskan jualan kit ujian pantas antigen Covid-19 pada harga lebih rendah daripada harga maksimum ditetapkan. 

Tambahnya lagi, konsep penguatkuasaan harga maksimum itu adalah sebagai penanda aras atau harga siling agar peniaga tidak menjual melebihi harga siling yang ditetapkan.

“Pendekatan pemeriksaan lebih tegas akan dilaksanakan pegawai penguat kuasa KPDNHEP dengan mengambil tindakan kes di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Katanya, hukuman denda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 akan dikenakan ke atas individu jika sabit kesalahan.

“Bagi syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN