Sejuta pelancong disasar ke Port Dickson pada Fasa 4 PPN - Utusan Malaysia

Sejuta pelancong disasar ke Port Dickson pada Fasa 4 PPN

ZAMRI Mohd. Esa (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Homestay Warisan Bonda, Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyasarkan sejuta pelancong yang melawat daerah apabila Negeri Sembilan dapat beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

Yang Dipertua MPPD, Zamri Mohd. Esa berkata, sasaran itu realistik selepas melihat kehadiran pelancong yang agak baik datang ke daerah ini selepas pembukaan sektor pelancongan dalam Fasa 3 PPN ketika ini.

“Kami menyasarkan seramai sejuta pelancong datang ke daerah ini yang dijangka penghujung tahun ini.

Apabila peralihan ke Fasa 4 dan kebenaran rentas negeri diberikan, tentu pelancong akan lebih ramai. Pihak kami sudah bersedia untuk kembali menerima pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan projek sektor pembangunan pelancongan di Homestay Warisan Bonda, Teluk Pelandok, Pasir Panjang, Port Dickson hari ini. 

Sementara itu, menurutnya, kira-kira 150,000 orang pelancong dalam kalangan penduduk di negeri ini telah berkunjung ke Port Dickson sejak Fasa 3 PPN  4 September lalu. 

“Kami dimaklumkan, seramai 150,000 pelancong tempatan datang berkunjung ke daerah ini. Bagaimanapun, kami harap orang ramai yang datang agar dapat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. 

“Kami tidak dapat mengawal sepenuhnya pengunjung yang datang ke sini. Sebanyak 11 pantai yang sepanjang 17 kilometer di Port Dickson yang perlu dikawal rapi bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 di kawasan tumpuan pelancong ini,” katanya. 

Dalam pada itu, Zamri memaklumkan, pihaknya sedang menaik taraf pelbagai kemudahan di beberapa lokasi tumpuan pengunjung termasuk menambah kiosk penjaja di Pantai Saujana dan pemasangan papan iklan LED di Dataran Telok Kemang. 

“Beberapa kemudahan dilaksanakan bagi membolehkan kawasan tumpuan ini diberi nafas baru dan selesa untuk dikunjungi yang dijangka akan siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini,” katanya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN