Sapiah wanita Orang Asli pertama dilantik KP Jakoa  - Utusan Malaysia

Sapiah wanita Orang Asli pertama dilantik KP Jakoa 

ISMAIL Sabri Yaakob menyerahkan surat lantikan kepada Sapiah Mohd. Nor (tiga kanan) di bangunan Parlimen. -FOTO FB Mahdzir Khalid
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mengumumkan pelantikan Sapiah Mohd. Nor sebagai Ketua Pengarah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) ke-18 berkuat kuasa esok. 

 

Pelantikannya telah diperkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. 

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, surat pelantikan Sapiah diserahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari ini di Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

 

Menurutnya, pelantikan Sapiah mencipta sejarah negara tersendiri apabila beliau menjadi wanita Orang Asli pertama dilantik ke jawatan tertinggi perkhidmatan awam. 

 

“Pelantikan ini juga merupakan sejarah kepada Jakoa apabila dipimpin oleh golongan wanita sekali gus meningkatkan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan dan masyarakat Orang Asli dalam perkhidmatan awam,” jelasnya menerusi kenyataan akhbar di sini hari ini. 

 

Mahdzir berkata, Sapiah yang berusia 56 tahun adalah Orang Asli keturunan Suku Semai berkelulusan Ijazah Sarjana Undang-Undang Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2007 dan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan universiti yang sama pada tahun 2001. 

 

Tambahnya, dia memulakan tugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir pada tahun 1991 dan berpengalaman luas dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun serta juga pernah berkhidmat di beberapa kementerian dan jabatan. 

 

“Antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Perusahaan Utama dan Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) sebelum dilantik menjadi Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada tahun 2003 sehingga kini. 

 

“Bagi pihak kerajaan dan seluruh Keluarga Malaysia merakamkan ucapan tahniah dan selamat menjalankan tugas,” ujarnya.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.