Remaja ditahan, video uji motosikal tular - Utusan Malaysia

Remaja ditahan, video uji motosikal tular

SUSPEK bersama motosikalnya ditahan di hadapan IPD Kuala Selangor, semalam selepas rakaman videonya menguji motosikal yang diubah suai tular dalam media sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Tindakan seorang remaja lelaki ‘menguji’ motosikal yang diubah suai memakan diri apabila ditahan selepas aksinya dikesan menerusi media sosial semalam.

Aksi berbahaya remaja berusia 18 tahun itu dikatakan dirakam di Kilometer 16 Jalan Kuala Selangor-Kuala Lumpur, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, rakaman video itu berjaya dikesan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Susulan itu, kita berjaya mengesan motosikal berkenaan di sebuah bengkel di sekitar Bukit Hijau.

“Semakan mendapati motosikal itu tidak mempunyai plat pendaftaran dan nombor enjin turut sudah diusik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, siasatan kemudian membawa kepada penahanan remaja lelaki itu di sekitar Sungai Buloh, kira-kira pukul 8 malam tadi.

“Selain remaja itu, pemilik motosikal iaitu lelaki berusia 20 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Tambah Ramli, siasatan awal mendapati aksi itu dipercayai dirakam pada Jumaat lalu sebelum dimuat naik ke media sosial sejak kelmarin.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dalam aktiviti motosikal yang menyalahi undang-undang.

“Jangan sesekali terlibat dalam sebarang aktiviti lumba haram atau pengubahsuaian motosikal.

“Orang awam dinasihatkan supaya menjadi pengguna jalan raya yang berhemah demi keselamatan semua pihak,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN