PETALING JAYA: Reformasi institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak cukup dengan hanya penambahbaikkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebaliknya pelbagai perkara lain perlu diberi tumpuan terutama berkaitan sumber manusia, kebajikan, imbangan kuasa dan pembaharuan menyeluruh wajar dilaksanakan bagi menjadikan institusi berkenaan setaraf standard dunia.
Selain itu katanya, IPCC yang akan dibentangkan di Parlimen juga wajar mendapat dukungan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
” Adakah IPCC menterjemah semangat sebenar reformasi pasukan polis seperti yang diusulkan dalam Laporan Suruhanjaya Di Raja Untuk Meningkatkan Operasi dan Pengurusan PDRM yang dipengerusikan oleh Tun Mohammad Dzaiddin Abdullah pada 2005 ? Laporan Dzaiddin tersebut telah memperincikan 125 saranan khusus untuk penambahbaikan operasi dan tata kelola sistem kepolisian kita.
” Reformasi institusi tidak mencukupi hanya sekadar penambahbaikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis ( IPCMC) kepada IPCC. Pasukan polis memerlukan lebih dari itu untuk menjadi lebih berkesan dan berwibawa. IPCMC atau IPCC adalah hanya salah satu saranan yang diusulkan. Banyak lagi saranan yang berkaitan dengan sumber manusia, kebajikan, imbangan kuasa dan pembaharuan menyeluruh yang wajar dilaksanakan bagi menjadikan sistem kepolisian kita setara dengan standard dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad turut membangkitkan persoalan sama ada IPCC telah dibincangkan PDRM di semua peringkat atau sebaliknya.
” Kerajaan wajar menjelaskan pendiriannya dalam perkara berikut. Oleh kerana pembentangan IPCMC telah mendapat bantahan meluas sebelum ini terutama dalam kalangan anggota polis, maka adakah pembaharuan dalam IPCC ini telah di bincangkan secara mendalam dan menyeluruh dengan pemegang taruh sebenar?
” IPCC wajar mendapat dukungan anggota polis kerana ia tidak akan menjadi undang-undang yang berjaya tanpa pandangan, sokongan dan penyertaan bermakna pasukan keselamatan kita,” jelasnya.
Tambah Mohamad, IPCC hanya akan mencapai matlamatnya jika ia dilaksanakan selari dengan segala pembaharuan lain yang di sarankan oleh Laporan Dzaiddin.
” Setelah lebih 17 tahun, Laporan Dzaiddin masih lagi tertangguh untuk dilaksanakan secara rapi dan bersepadu.
” Saya menyeru Kerajaan membentangkan rancangan pembaharuan dan permodenan polis dengan segera. Pengorbanan anggota keselamatan kita sangat luar biasa dan mewajarkan kita meletakkan keutamaan pembaharuan melangkaui kod tatakelakuan segelintir aggota. IPCC mesti diseimbangkan dengan komitmen Kerajaan untuk memperbaiki secara menyeluruh gaji, kemajuan kerjaya, kebajikan dan peningkatan kemahiran anggota polis,” katanya.-UTUSAN ONLINE










