MELAKA: Suasana di pusat pemberian vaksin (PPV) mega di Melaka terus sepi, walaupun kerajaan negeri telah membenarkan orang ramai mengambil suntikan Covid-19 itu secara datang terus (walk-in), bermula Sabtu lalu.
Difahamkan, setakat pukul 12 tengah hari pada hari pertama inisiatif itu bermula, hanya 90 individu termasuk warga asing hadir mendapatkan vaksin di PPV Mega Stadium Hang Jebat di sini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Klinikal PPV Mega Stadium Hang Jebat, Dr. Nooraishah Alias, 34, berkata, pusat berkenaan mula dibuka hujung bulan lalu dan menjadi lengang selepas beroperasi selama dua minggu.
Katanya, mengikut rekod kehadiran, jumlah yang hadir mendapatkan suntikan vaksin hanya sekitar 400 orang sehari pada minggu kedua, jauh lebih rendah berbanding kuota 5,000 penerima disasarkan kerajaan negeri.
“Kita telah melakukan pelbagai cara untuk memastikan penerima hadir termasuklah menghubungi individu serta syarikat, namun tiada perubahan ketara.
“Pada minggu kedua PPV ini dibuka, hanya 400 penerima yang hadir setiap hari,” katanya ketika ditemui.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, hampir 70,000 pendaftar vaksin melalui aplikasi MySejahtera di Melaka dikesan tidak hadir ke PPV.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, hasil maklum balas, seramai 54,000 orang memberikan pelbagai alasan termasuk mendakwa, tidak mahu menerima vaksin, namun didaftarkan oleh anak masing-masing.
Katanya, selain itu, ada yang memaklumkan tidak hadir disebabkan telah mendaftar permohonan vaksin sebanyak dua kali. – UTUSAN ONLINE










