Rais akan bawa isu letak SPRM bawah Parlimen kepada PM - Utusan Malaysia

Rais akan bawa isu letak SPRM bawah Parlimen kepada PM

RAIS YATIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) akan mencadangkan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan terus di bawah Parlimen.

Pengerusinya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, mereka bersetuju dengan pandangan banyak pihak yang mahu agensi itu bebas berkecuali tanpa pengaruh tekanan politik pihak eksekutif.

“Ini bukan perkara baharu dan kami akan memberi pertimbangan khusus untuk menzahirkan objektif itu menjadi kenyataan,” katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat SPRM hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat pertama bersama tujuh ahli jawatankuasa itu secara maya di sini yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Mereka dilantik Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun bermula 15 Julai lalu selaras peruntukan Seksyen 14 Akta SPRM 2009 bagi memberi nasihat kepada Perdana Menteri.

Mengulas lanjut, Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, cadangan ini akan disampaikan kepada kerajaan untuk diteliti lebih lanjut dari sudut perlembagaan negara dan amali integriti berdasarkan pengalaman selama ini SPRM terdedah kepada pengaruh luaran yang tidak dapat dikawal selain bagi meningkatkan keberkesanan dan kepercayaan rakyat.

Rumusan mesyuarat sulung itu ujarnya, turut menyarankan SPRM diberikan ‘nafas’ baharu dan semua ahli jawatankuasa bakal memberi laporan masing-masing untuk reaksi susulan.

Berdasarkan taklimat dibentangkan Azam dalam mesyuarat itu, Rais berpendapat SPRM wajar di bawah Parlimen dan bukannya tanggungjawab Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Usaha itu juga akan memberi keyakinan dunia luar mengenai kebebasan badan antirasuah negara ada jaminan telus tidak terikat kepada pihak kerajaan dalam membuat keputusan.

“SPRM sudah tiba masa bukan di bawah JPA tetapi sebuah suruhanjaya khas yang dapat menetapkan sendiri dari aspek perjawatan dan peruntukan operasi lebih cekap,” tegasnya.

Beliau menambah, cadangan ini pernah disuarakan pentadbiran Pakatan Harapan dan juga Perikatan Nasional terdahulu, tetapi tidak pernah dilaksanakan kerana ‘tumbang’ lebih awal.

Justeru, beliau yakin kepimpinan baharu di bawah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu merealisasikan impian tersebut demi memastikan imej SPRM lebih berwibawa dan dipercayai.

JKMR jelasnya, turut menyarankan supaya pengajaran antirasuah diserapkan di peringkat sekolah sehingga ke universiti tempatan bagi memastikan ia menjadi budaya murni tinggi rakyat.

“Saya akan bawa isu ini kepada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi yang mungkin boleh dijadikan kegiatan luar kelas untuk pelajar diasuh jijik lihat rasuah,” katanya.

Pada masa sama ujar Rais, perkara itu juga boleh dimasukkan dalam kurikulum dan buku teks agar generasi muda faham bahaya gejala rasuah mampu meruntuhkan ketamadunan bangsa.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN