Projek TAPS bebaskan Melaka daripada banjir 2035 - Utusan Malaysia

Projek TAPS bebaskan Melaka daripada banjir 2035

IDRIS HARON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penstrukturan semula saliran-saliran utama melalui projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) bernilai RM350 juta mampu menjadikan negeri ini bebas banjir menjelang 2035.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Daerah, Luar Bandar dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Seri Idris Haron berkata, teknik off river storage atau takungan air itu akan menyelesaikan dua masalah sekali gus, iaitu sebagai simpanan air semasa musim hujan dan membekalkan air ketika kemarau.

Jelas beliau, kejadian banjir yang sering berlaku di kawasan-kawasan kampung juga dapat dicegah apabila limpahan air sungai akan disalurkan terus ke dalam kolam takungan yang terletak di tepi sungai.

“Ketika musim kemarau, air akan dipam masuk ke dalam sungai untuk dialirkan ke kolam-kolam takungan. Pengurusan pam akan dikawal agar selari dengan fenomena air laut pasang dan surut.

“Negara kecil seperti Singapura pun tidak bebas banjir kerana populasi penduduknya lebih padat iaitu sekitar lima juta berbanding satu juta di negeri ini. Melaka ada kelebihan kerana kita masih boleh menstruktur semula dan menguruskan parit serta longkang dengan teknik takungan air.

“TAPS adalah satu program besar, belum ada di negeri-negeri lain yang boleh menjamin bebas banjir. Kita mahu air boleh diminum terus daripada paip pada 2035,” katanya ketika ditemui.

Tambah Idris, pelaksanaan TAPS kini memasuki fasa kajian yang diterajui oleh pihak swasta dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Menurut Idris, kajian sebelum ini hanya dilakukan di Melaka Tengah dan beliau mahu ia diperluaskan ke seluruh negeri termasuk Alor Gajah dan Jasin.

“Buat masa ini, Empangan Sungai Jernih sudah dibangunkan secara berfasa. Kawasan lain yang dikenal pasti adalah di Hang Tuah Melaka Commercial Centre (HTMCC), manakala Kampung Enam yang terletak berhampiran akan diindahkan serta dimajukan dengan pelbagai aktiviti ekonomi.

“Satu waterfront skala kecil akan dibina dan ia bakal memberikan impak besar kepada kemajuan Sungai Melaka fasa kedua.

“Infrastruktur di kawasan ini juga perlu dinaik taraf kerana terletak di tengah-tengah kawasan bandar dan di tepi sungai,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN