Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi jadi kayu pengukur - Utusan Malaysia

Projek rintis gelembung pelancongan Langkawi jadi kayu pengukur

NANCY (kiri) memperkatakan sesuatu kepada salah seorang penggiat industri yang menerima sijil MySafe Langkawi sambil diperhatikan oleh Muhammad Sanusi Md. Nor (kanan) pada majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Hasil pelaksanaan projek rintis gelembung pelancongan domestik di Langkawi di sini yang bermula esok akan dijadikan kayu ukur bagi pembukaan pulau peranginan lain.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, selain itu tahap pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu di pulau ini juga akan diambil kira.

“Maklum balas ini kelak akan dinilai dan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan seperti pembukaan lebih banyak destinasi pelancongan yang dikenal pasti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pembukaan Semula Sektor Pelancongan di Langkawi di Langkawi International Convention Centre di sini malam ini.

Majlis pelancaran itu dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor.

Kata beliau, pembukaan destinasi pelancongan lain juga akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus imuniti kelompok.

Sehubungan itu, Nancy menggesa orang ramai yang ingin melakukan perjalanan ke pulau ini supaya mematuhi SOP ditetapkan.

“Ia bagi memastikan agar gelembung pelancongan Langkawi kekal hijau seterusnya dapat merealisasikan perancangan lebih banyak gelembung pelancongan domestik pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, kementerian menaruh harapan yang tinggi kepada Langkawi kerana ia bukan sahaja akan menjadi tumpuan kepada para pelancong domestik, malah media tempatan dan antarabangsa.

“Ia memungkinkan kejayaan kepada pembukaan pelancongan antarabangsa jika travel bubble ini berjaya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.