JELEBU: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan semula Program Jerayawara (Outreach) Vaksinasi Covid-19 di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam masa terdekat bagi mengesan penduduk yang masih tercicir dan belum menerima vaksin Covid-19.
Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, program jerayawara tersebut akan dijalankan di lokasi yang mencatatkan lebih 500 kes baharu dalam tempoh dua minggu.
“Program ini akan dilaksanakan di lokasi yang mencatatkan kes jangkitan baharu melebihi 500 kes baru dalam tempoh dua minggu. Sekiranya ada peningkatan 500 kes kami akan hantar vaksin bergerak jadi mana-mana warga kota yang berusia 18 tahun ke atas dan belum mendapatkan vaksin mereka boleh segera ke lokasi jerayawara berkenaan.
“Pada awalnya, program itu sudah dihentikan namun saya ada mengadakan perbincangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim agar mewujudkan semula program jerayawara berkenaan bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadap Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad di Balai Undang Luak Jelebu, Kuala Klawang di sini hari ini.
Jalaluddin yang merupakan Ahli Parlimen Jelebu dalam pada itu menjelaskan, walaupun Kuala Lumpur dan Putrajaya direkodkan sudah mencapai kadar imuniti kelompok, pihaknya tetap mahu melihat data tersebut secara terperinci.
“Saya dimaklumkan Kuala Lumpur dan Putrajaya sudah mencapai tahap imuniti kelompok namun apakah data sebenar warga kota di dua wilayah tersebut? Jika sudah mencapai komuniti kelompok kerajaan wajar meluluskan peralihan fasa satu kepada fasa dua.
“Hal ini kerana, warga kota tidak mampu lagi menangguhkan aktiviti ekonomi mereka. Ini menggambarkan pencapaian pencegahan penularan di dua wilayah berkenaan dan saya melihat kerajaan wajar alihkan ke fasa kedua sekiranya sudah mencapai imuniti kelompok,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE










