Polis PD terima 12 laporan penipuan menyamar rakan, ahli keluarga - Utusan Malaysia

Polis PD terima 12 laporan penipuan menyamar rakan, ahli keluarga

AIDI SHAM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Sebanyak 12 laporan polis berhubung penipuan penyamaran untuk tujuan pinjaman wang diterima Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson sepanjang tahun ini.

 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, laporan sehingga 3 September lalu itu melibatkan penipuan penyamaran sebagai rakan, majikan dan ahli keluarga untuk pinjaman wang melibatkan kerugian keseluruhan berjumlah RM58,7000 dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

 

“Modus operandi dalam kes ini adalah suspek akan menggunakan gambar profil di aplikasi WhatsApp yang memaparkan gambar kenalan mangsa dan jika urusan secara panggilan suara, suara tersebut dapati adalah seakan mirip dengan kenalan mereka itu.

 

“Mangsa akan dimaklumkan bahawa telefon kenalan mangsa telah rosak, hilang atau terlibat dalam kejadian ragut dan perlu menggunakan nombor telefon yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Aidi Sham menambah, suspek akan meminta tolong daripada mangsa untuk memberikan pinjaman wang dan dijanjikan akan dikembalikan semula dalam masa terdekat. 

 

“Antara alasan yang digunakan adalah untuk membayar kepada pembekal dan juga pembayaran hutang ah long.

 

“Suspek akan meminta mangsa untuk memasukkan terus wang itu kepada akaun pihak tersebut dan oleh sebab itu, mangsa tidak akan mengesyaki apa-apa apabila melihat nama pada akaun tersebut adalah berbeza dengan nama kenalan mangsa tersebut,” katanya.

 

Tambah beliau, mangsa hanya akan menyedari diperdaya setelah gagal berhubung dengan suspek setelah transaksi wang dibuat dan apabila menghubungi nombor telefon kenalan yang asal mereka menafikan perkara tersebut.

 

“Pihak polis menegaskan orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang membuat panggilan atau menghantar WhatsApp dan mengaku sebagai kenalan untuk meminjam wang.

 

“Semak dahulu kesahihan identiti individu tersebut sebelum membuat apa-apa transaksi,” tegasnya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya