Polis buka kertas siasatan dakwaan dua pelajar mati akibat vaksin - Utusan Malaysia

Polis buka kertas siasatan dakwaan dua pelajar mati akibat vaksin

MIOR FARIDALATRASH WAHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan dua pelajar sebuah sekolah di negeri ini yang dikatakan meninggal dunia disebabkan suntikan Vaksin Covid-19.

Dakwaan tersebut tular di media sosial menerusi video berdurasi satu minit 38 saat yang dirakam dalam sebuah majlis dipercayai diadakan sebagai tanda tidak menyokong langkah kerajaan mengenakan pengambilan vaksin kepada pelajar sekolah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan.

Katanya, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

“Kita telah menerima dua laporan polis hari ini masing-masing daripada pegawai pendidikan (kesihatan) daerah Ipoh dan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai.

“Laporan dibuat kedua-dua pihak itu adalah berkaitan ketidakpuasan hati mengenai dakwaan kematian dua pelajar sekolah berkenaan adalah disebabkan suntikan vaksin Covid-19,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, kematian dua pelajar tersebut tidak mempunyai kaitan dengan vaksin Covid-19 kerana kedua-duanya belum pun menerima suntikan berkenaan.

Katanya, pelajar perempuan tingkatan lima yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) adalah disebabkan masalah kesihatan iaitu kencing manis dan positif Covid-19.

Jelasnya, kematian pelajar lelaki tingkatan lima itu pada 17 September lalu di hospital sama pula kerana penyakit jantung berlubang.

“Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) di Perak bermula 20 September lalu manakala kematian dua pelajar itu disahkan sebelum PICK Remaja dilaksanakan.

“Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mudah percaya dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tanpa merujuk kepada pihak yang bertanggungjawab bagi memastikan kesahihan maklumat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN