PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak memerlukan usul undi keabsahan bagi pelantikan dirinya pada persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.
Perkara tersebut dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam sidang akhbar di sini hari ini.
“Beliau (Ismail Sabri) ada memaklumkan mengenai isu ini kepada saya ketika mesyuarat Kabinet pertama minggu lalu setelah dititahkan Yang di-Pertuan Agong sebelum itu,” katanya.
Topik keabsahan itu dibangkitkan Ketua Pembangkang yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mendakwa Ismail Sabri memerlukan undi percaya atas pelantikannya.
Ia bertambah ‘panas’ apabila Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memaklumkan tiada keperluan bagi usul tersebut kerana sudah memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan.
Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, berdasarkan pengalaman dirinya sebagai Ahli Parlimen, isu usul sedemikian hanya berlaku dua kali dan itupun kerana kedudukan kerajaan amat kuat.
“Perkara ini berlaku ketika era Tun Hussein Onn pada 1976 dan Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila mereka sendiri mengusulkan keabsahan itu bagi mengesahkan kedudukan,” katanya.
Sebaliknya ujar beliau, usul tersebut tidak pernah dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri yang lain kerana memang tiada keperluan pun untuk berbuat demikian di Parlimen, justeru, usul berkenaan tidak diperlukan pada masa ini apatah lagi Ismail Sabri baru dilantik.
Ini kerana, kata bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, dari segi tempoh singkat selepas pelantikan itu, adalah mustahil ahli-ahli Dewan Rakyat berubah fikiran selepas bertemu Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bulan lalu.
“Perdana Menteri sudah dapat perakuan 114 ahli Parlimen malah, setiap daripada mereka datang menghadap Seri Paduka sendiri selain perakuan bertulis yang dihantar sebelum itu. Maka dari segi masa, adalah tidak mungkin ada yang tiba-tiba berubah sokongan, kecualilah selepas enam bulan kemudian, ada kebarangkalian mereka bertukar pendirian,” katanya. -UTUSAN ONLINE