PKPS nafi terlibat isu nyahwarta HSKLU - Utusan Malaysia

PKPS nafi terlibat isu nyahwarta HSKLU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menegaskan tidak mempunyai kaitan langsung dengan isu penyahwartaan HSK Kuala Langat Utara (HSKLU).

PKPS dalam satu kenyataan hari ini menafikan PKPS menceroboh dan membuka sebahagian kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Panjang, Sabak Bernam yang kononnya dikatakan hutan gantian berikutan penyahwartaan HSKLU.

“Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan berkenaan dan isu nyahwarta HSKLU tiada kaitan langsung dengan PKPS. Ia (tuduhan) dilakukan dengan mengaitkan nyahwarta HSKLU dengan tanah milik persendirian PKPS yang akan dibangunkan sebagai tapak Inisiatif Jaminan Bekalan Makanan Negeri Selangor.

“Tapak projek pembangunan pertanian bersepadu Selangor Smart Agro Park (SSAP) yang dikaitkan dengan tohmahan itu merupakan tanah hak milik PKPS berstatus pertanian dan bukan berstatus HSK,” katanya

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, tanah seluas kira-kira 536.7 hektar dinyahwarta selepas Exco Pelancongan dan Alam Sekitar, Hee Loy Sian memaklumkannya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada minggu lalu.

Rentetan itu juga, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menafikan sebuah syarikat yang terlibat dengan isu penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) mempunyai kaitan dengan baginda.

Baginda menerusi kenyataan yang dikeluarkan Istana Mestika bertitah menyedari terdapat dakwaan mengatakan isu penyahwartaan yang sudah pun dibangkitkan sejak tahun lalu terhadap tanah keluasan 536.7 hektar itu turut cuba dikaitkan dengan kerabat diraja Selangor.

Sementara itu, PKPS dalam kenyataan sama menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang termasuk tuntutan saman fitnah terhadap pihak terlibat dalam tempoh terdekat.

Tambahnya, PKPS turut menegaskan sebarang kerja pembangunan di tapak SSAP belum bermula bagi memastikan segala syarat ditetapkan kerajaan negeri dipatuhi terlebih dulu.

“Selain itu, kami sedang merangka polisi menyokong Dasar NDPE (No Deforestation, Peat, Exploitation) dan mewujudkan Central Forest Spine (CFS) bagi memelihara ekosistem dan habitat semulajadi di kawasan pembangunan SSAP.

“PKPS akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan lain dan NGO untuk membantu kerajaan negeri memastikan sektor agro makanan tempatan dapat menampung kehendak rakyat Selangor,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN