KANGAR : Buat pertama kalinya, sejak tercetusnya pandemik Covid-19 hampir dua tahun lalu, kes harian wabak tersebut di negeri ini mencecah tiga angka apabila 108 kes baharu direkodkan hari ini.
Peningkatan ketara jumlah kes Covid-19 di Perlis sejak kebelakangan ini menjadikan jumlah kes aktif mencecah 900, manakala kes terkumpul merekodkan 2,574 kes selain kematian meningkat kepada 39 kes.
Berikutan itu, lapan daripada keseluruhan 22 mukim di negeri ini telah diklasifikasikan sebagai zon merah dan hampir semua mukim kini mempunyai kes wabak itu.
Kuala Perlis terus menjadi penyumbang tertinggi dengan 163 kes aktif diikuti Sanglang,121 kes; Wang Bintong(77 kes); Titi Tinggi (67 kes); Utan Aji (66 kes); Beseri (50 kes); Padang Siding (45 kes) dan Chuping (43 kes); Kechor (40 kes) dan Jejawi,35 kes.
Hari ini, Kuala Perlis merekodkan 17 kes baharu manakala Sanglang,14 kes; Titi Tinggi dan Wang Bintong, 13 kes selain beberapa kawasan lain mencatatkan bawah tujuh kes.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri terus menasihati rakyat Perlis supaya sentiasa berwaspada dan kekal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Manakala, semua individu yang pulang dari luar Perlis diminta untuk menghubungi bilik gerakan Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.
Sebagai rekod, 64.8 peratus daripada jumlah kes yang direkodkan hari ini belum lengkap vaksinasi. -UTUSAN ONLINE










