PADANG BESAR: Meskipun masih berada dalam tempoh kuarantin berikutan positif Covid-19, namun, seorang lelaki dari Kampung Melayu di sini terus ingkar apabila didapati keluar dari rumah sekali gus boleh mengundang risiko kepada individu lain.
Difahamkan, sebelum ini, lelaki tersebut dan ahli keluarga pernah dikompaun sebanyak RM8,000 kerana melanggar arahan kuarantin tersebut.
Selain lelaki berusia 21 tahun itu, kesemua empat ahli keluarga yang menjadi kontak rapat tinggal serumah dengan individu terbabit turut diarahkan kuarantin dari 23 Ogos sehingga 5 September depan.
Pengerusi Badan Bertindak Covid-19 Kebangsaan (CITF) negeri, Azman Mohd. Yusof
berkata, berikutan itu, pihaknya bercadang menempatkan lelaki berkenaan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis.
Katanya, pemuda tersebut yang dijangkiti Covid-19 kategori satu didapati masih degil dan cuba untuk keluar rumah.
“Jadi, kita telah minta wakil penghulu bersama polis untuk mengingatkan lelaki tersebut dan keluarganya untuk tidak keluar rumah kerana ia memberi kesan kepada orang sekitar jika berlaku jangkitan.
“Ini kerana sudah ada dua atau tiga kes jangkitan Covid-19 di kawasan berdekatan yang dipercayai tempat yang mana lelaki tersebut pergi berjumpa dengan kawan-kawannya,” katanya di sini hari ini.
Semalam, tular dalam media sosial seorang lelaki dipercayai penghulu memarahi seorang lelaki di sebuah rumah kerana ingkar arahan kuarantin cuba keluar dari rumah walaupun dijangkiti wabak Covid-19.
Tambah Azman, bagi mengelak pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), lelaki tersebut dicadangkan untuk ditempatkan di PKRC IPG yang baharu apabila ia dibuka dalam masa terdekat ini.
“Biasanya, kategori satu memang kita kuarantin di rumah. Tetapi kes ini, kerana sikap yang degil, jadi, perlu diletakkan di PKRC supaya pergerakan boleh dikawal,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas mengesahkan jumlah keseluruhan RM8,000 kompaun telah dikeluarkan terhadap isi rumah tersebut.
Katanya, kompaun tersebut dikeluarkan pada 26 Ogos lalu kepada lelaki berkenaan apabila didapati melanggar SOP dengan memotong gelang pink.
Jelasnya, untuk kesalahan tersebut, lelaki itu dikenakan kompaun sebanyak RM5,000 dan RM1,500 pula kerana tidak mematuhi SOP dengan membawa masuk rakan ke premis kuarantin.
“Seorang lagi ahli keluarga wanita yang berusia 24 tahun juga dikompaun sebanyak RM1,500 kerana keluar daripada premis kuarantin.
“Kes disiasat di bawah Seksyen Peraturan 16 P.U. (a) 293/2021 Akta 342, Ordinan Darurat (Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021,” katanya.-UTUSAN ONLINE