Perak tidak cadang ambil alih warisan sejarah milik persendirian - Utusan Malaysia

Perak tidak cadang ambil alih warisan sejarah milik persendirian

NOLEE Ashilin Mohamed Radzi (kiri) beramah mesra dengan pelajar pada program penyerahan sumbangan peranti mudah alih kepada Perpustakaan Komuniti PPR Seri Kepayang di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengambil alih tanah milik persendirian yang terdapat bangunan warisan sejarah.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sebaliknya pemilik tanah persendirian boleh bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menjadikan sesuatu bangunan di tanah mereka sebagai tapak warisan. 

 

“Kerajaan negeri tidak berhasrat secara khusus untuk mengambil alih bangunan warisan di tanah milik persendirian. 

 

“Pemilik boleh bekerjasama dengan kerajaan sekiranya mahu menjadikan  tapak-tapak bersejarah di tanah mereka sebagai tapak konservasi atau bangunan warisan,” katanya. 

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan enam peranti mudah alih kepada Perpustakaan Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Kepayang di sin, hari ini. 

 

Mengulas cadangan Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan mungkin dijadikan muzium atau galeri, Nolee Ashilin berkata, beliau tidak boleh mengulas kerana perkara itu masih di peringkat kajian. 

 

“Setakat ini masih dalam kajian, jadi saya tidak dapat nak mengulasnya kerana belum dapat laporanterperinci,” katanya.

 

Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri telah menyenaraikan lima lokasi di negeri ini sebagai destinasi gelembung pelancongan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

 

Menurutnya, lima lokasi itu ialah Pulau Pangkor, Greater Ipoh, Geopark Lembah Kinta, Taiping dan Tanjung Malim. 

 

Menurutnya, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada Pangkor untuk menjadi destinasi utama gelembung pelancongan kerana pelancongan pulau itu mempunyai laluan yang boleh dikawal. 

 

“Perak berharap salah satu destinasi pelancongan di negeri ini akan disenaraikan sebagai destinasi gelembung pelancongan sebelum bulan November ini kerana para pemain industri ini sudah bersedia menerima pelancong. 

 

“Sasaran untuk beroperasi awal November ini adalah sasaran yang baik. Kita berharap gelembung pelancongan di Perak dapat dilaksanakan lebih awal.

 

“Jika diiktiraf sebagai gelembung pelancongan lebih awal, kita akan dapat kelebihan pelancong yang datang akan memilih Pulau Pangkor berbanding negeri lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN