KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yakin kerajaan baharu mampu menunjukkan pencapaian awal dalam tempoh pemerintahan 100 hari.
Seri Paduka bertitah, dalam hal ini kerajaan perlu melipatgandakan usaha dalam memerangi pandemik Covid-19 dengan mengamalkan budaya berperstasi tinggi untuk mencapai sasaran dalam tempoh jangka masa pendek dan panjang.
Malah, tindakan kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melibatkan semua pihak dalam pendekatan baharu dwi-partisan membentuk landskap politik baharu adalah suatu perkara positif dalam sebuah pentadbiran negara.
“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat Beta. Ambillah nasihat, pepatah Melayu lama yang berbunyi hidup lalu, sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.
“Beta ingin menasihatkan pada semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada apa jua permasalahan. Justeru, Beta menyambut baik keterbukaan kerajaan dengan memberi peluang pada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen untuk melibatkan diri dalam mentadbir negara,” titah Seri Paduka. – UTUSAN ONLINE