KLANG: Penduduk di Kampung Sementa, Kapar, di sini gusar apabila sebuah jambatan yang menghubungkan laluan ke Sekolah Kebangsaan Sementa hampir runtuh dan membahayakan pengguna.
Malah, lebih membimbangkan apabila sesi persekolahan akan kembali dibuka pada Oktober ini kerana laluan itu turut digunakan ibu bapa dan pemandu bas sekolah yang menghantar pelajar ke sekolah berkenaan.
Seorang penduduk, Ismail Sulaiman,85, jambatan tersebut asalnya dibina hasil kerjasama penduduk setempat lebih 15 tahu lalu bagi memudahkan laluan penduduk untuk ke sekolah itu, namun sudah usang.
“Saya bimbang apabila sesi persekolahan bermula bulan depan ramai ibu bapa dan bas sekolah akan menggunakan laluan itu sebab tidak perlu pusing terlalu jauh untuk keluar ke jalan besar.
“Saya bimbang jika kereta, van dan kenderaan lebih berat melaluinya, jambatan itu akan roboh dan membahayakan penumpang yang terutama kanak-kanak sekolah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Dia menambah, penduduk kampung berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera kerana aduan sudah dibuat dan bimbnang keselamatan pengguna yang lalu jambatan berkenaan terancam.
Sementara itu seorang lagi penduduk, Shamsuri Ismail,34, berkata, pihaknya telah merujuk kepada pihak ketua kampung untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Menurut ketua kampung permohonan dalam proses permohonan dan difahamkan tiada bajet untuk memperbaiki jambatan berkenaan dan perlu menunggu sehingga tahun hadapan.
“Apa pun keputusannya, kami penduduk di sini berharap pihak berkuasa segera memperbaiki jambatan tersebut sebelum berlaku perkara tidak diingini,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE