KEMAMAN: Seorang ibu tunggal dari Kampung Lubuk Lesung, Kijal, di sini, yang menghidap penyakit buah pinggang kronik terpaksa menangguhkan rawatan hemodialisis kerana kesempitan hidup.
Rosila Noor, 54, berkata, dia yang sebelum ini merupakan buruh ladang sawit disahkan menghidap masalah buah pinggang tahap lima pada Oktober tahun lalu.
“Sejak disahkan mengidap penyakit ini, saya hanya menjalani dua kali rawatan dialisis di hospital kerajaan. Sepatutnya, saya perlu jalani rawatan tiga kali seminggu di pusat hemodialisis swasta namun kosnya tinggi.
“Setiap kali rawatan boleh cecah hingga RM300 termasuk kos perjalanan. Dalam seminggu saya perlukan hampir RM1,000,” katanya semalam.
Ibu kepada enam anak itu berkata, badannya kini menjadi lemah dan kakinya juga tidak kuat menyebabkan dia tidak lagi mampu mencari rezeki bagi menanggung tiga lagi anaknya yang masih belajar.
Sementara itu, anak ketiganya, Nor Ain Natasha Maae, 24, berkata, dia yang merupakan guru taska di Shah Alam, Selangor dan abangnya, Mohd .Ikram Nizam, 29, yang bekerja di sebuah pasar raya di daerah ini bertekad berhenti kerja bagi menjaga ibu mereka yang sakit.
“Saya dan abang berhenti kerja sebab tidak sanggup tengok mak sakit dan tiada orang dapat uruskan mak yang sebelum ini hanya mampu terlantar.
“Sekarang ini kami menggunakan baki wang simpanan yang ada untuk menampung perbelanjaan harian serta tiga lagi adik yang masih belajar termasuk dua daripadanya di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Nor Ain Natasha berharap ibunya mendapat bantuan bagi menjalani rawatan hemodialisis dengan segera.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan bantuan menerusi akaun bank CIMB milik anak sulung Rosliza 7642263007 atas nama Mohd Ikram Nizam Maae atau menghubungi nombor telefon 01161094809.-UTUSAN.










