Pematuhan SOP di Johor semakin rendah - Utusan Malaysia

Pematuhan SOP di Johor semakin rendah

AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mengakui kadar pematuhan rakyat negeri ini terhadap prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan semakin rendah.

 

Beliau berkata, semalam sahaja, pihaknya telah mengeluarkan kira-kira 222 nasihat kepada individu yang didapati melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN).

 

“Sejak Johor memasuki Fasa 2 PPN pada 24 September lalu, 10 kenderaan telah diarah berpatah balik ketika cuba melakukan pergerakan rentas daerah kerana tidak lengkap vaksinasi.

 

“Polis Johor juga telah menggerakkan operasi pematuhan terhadap SOP ditetapkan kerajaan, namun, apa yang dilihat adalah kadar pematuhan orang ramai sudah menurun.

 

“Sehubungan itu, selepas ini, kita tidak akan lagi sekadar memberi nasihat, tetapi, sebaliknya sebarang pelanggaran SOP akan terus dikenakan kompaun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

 

Jumaat lalu, Johor telah beralih memasuki Fasa 2 PPN yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran khususnya berkaitan sektor ekonomi dan aktiviti riadah dibenarkan.

 

Tambah Ayob Khan, pihaknya juga akan meningkatkan operasi pemantauan di lokasi-lokasi tumpuan awam dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

 

“Antara lokasi yang diberi tumpuan adalah di pusat beli belah, pantai dan pusat rekreasi bagi memeriksa sama ada masyarakat terus patuh SOP termasuklah syarat individu perlu lengkap vaksin,” ujarnya.

 

Sementara itu, Ayob Khan turut memberitahu, pihaknya telah membuka kertas siasatan untuk menyiasat satu dakwaan anggota polis negeri ini mengganggu isteri seorang anggota polis lain.

 

“Kita ada terima laporan pada 23 September lalu berhubung kejadian ini dan siasatan akan dijalankan. Jika benar seperti didakwa kita akan ambil tindakan mengikut undang-undang.

 

“Walaupun kejadian ini melibatkan anggota polis, kita akan tetap membuat siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN